AM > BERITA

10 Resolusi Persatuan Alumni Felo Perdana Diusulkan Kepada Perdana Menteri – Zambry

04/10/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak 10 resolusi dicadangkan Persatuan Alumni Felo Perdana antaranya mengenai penubuhan Dana Inovasi Belia Negara bagi melahirkan lebih ramai usahawanan belia dalam bidang ekonomi hijau dan digital ekonomi, akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dIhalusi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas mempengerusikan sesi rundingan tertutup meja bulat persatuan itu hari ini bersempena dengan Forum Ekonomi Belia 2024 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 26 Okt.

Zambry berkata apa yang dibentangkan hari ini ialah berhubung cadangan ke arah memperbaik hal berkaitan bakat, pendidikan dan sistem sedia ada sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara dari segi ekonomi.

“Ini merupakan satu libat urus saya dengan kumpulan anak muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing yang mereka sebelum ini merupakan belia yang mengikuti program Felo Perdana dianjurkan kerajaan, dan sekarang sebahagian besar daripada mereka telah pun berada dalam sektor pekerjaan masing-masing.

“Hari ini kita telah menerima 10 cadangan daripada mereka dan saya telah mengatakan kepada mereka saya akan kemukakan kepada Perdana Menteri, dan yang berkaitan Kementerian Pendidikan Tinggi kita akan perhalus dan akan laksanakan cadangan yang baik. Apa mereka kemukakan tadi ialah beberapa cadangan ke arah membaiki banyak perkara antaranya berkaitan bakat, pendidikan serta sistem sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata terdapat beberapa cadangan yang perlu diteliti untuk melihat kaedah pelaksanaan memandangkan ada cadangan yang dikemukakan telah pun mempunyai mekanisme sedia ada, namun ia mungkin boleh diperbaik dan ditambah nilai berdasarkan cadangan yang dikemukakan anak muda.

“Kumpulan ini akan mengadakan satu program berskala besar melibatkan perbincangan yang berkaitan dengan ekonomi belia iaitu program yang begitu berprestij sebenarnya dan Kementerian Pendidikan Tinggi bersedia untuk memberikan kerjasama dalam usaha mereka untuk menganjurkan program ini.

“Kita mengalu-alukan pandangan mereka yang merupakan generasi muda yang melihat sendiri persekitaran dan isu-isu yang dihadapi serta langkah-langkah untuk menambah baik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahim berkata pihaknya bekerjasama dengan pelbagai badan belia dan penyelidikan seperti Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan Khazanah Research Institute untuk membuat tinjauan mengenai keperluan kepada perubahan dasar melibatkan pelajar sekolah menengah sehingga belia profesional yang berada dalam sektor pekerjaan.

“Jadi, antara resolusi penting yang kita ingin bawa kepada kerajaan ialah menubuhkan Dana Inovasi Belia Negara untuk melahirkan lebih banyak Unicorn (syarikat pemula niaga yang mencatatkan nilai lebih US$1 bilion) dan juga golongan usahawan lebih moden untuk masa hadapan.

“Selain itu, kita juga berhasrat merombak semula program latihan industri dan memperkukuh program perintis bersama dengan syarikat teknologi gergasi yang telah menyatakan hasrat untuk melabur di negara kita, contohnya Amazon Web Services dan Oracle,” katanya.

Beliau berharap usaha murni ini menjadi inisiatif yang boleh menjadi jambatan untuk memastikan idea dan inisiatif daripada belia untuk belia tidak dilupakan dan mendapat perhatian daripada kerajaan Malaysia.

Selain penubuhan Dana Inovasi Belia Negara, resolusi lain yang digariskan Persatuan Alumni Felo Perdana ialah mewujudkan Program Khidmat Negara secara mandatori yang menekankan kemahiran insaniah, penyelesaian masalah dan komunikasi serta mewujudkan platform Kaunseling Kerjaya Kebangsaan.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Forum Ekonomi Belia 2024 yang akan diadakan di MITEC boleh layari lawan sesawang www.yef2024.com

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan