AM > BERITA

UiTM Kelantan Lancar Tabung "No One Left Behind" Bantu Pelajar OKU

05/10/2024 04:17 PM

MACHANG, 5 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan hari ini melancarkan Tabung “No One Left Behind” untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi kegunaan pelajar orang kurang upaya (OKU) di kampus berkenaan.

Penasihat Persatuan D'Banquers UiTM Cawangan Kelantan Putra Faizurrahman Zahid berkata dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk penambahbaikan fasiliti termasuk kemudahan tandas mesra OKU. 

“Sebelum ini Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU (U-DServeD) UiTM Cawangan Kelantan pernah menyewa tandas mudah alih dan ia dilihat tidak efisien untuk pelajar OKU ini.

“Untuk naik taraf tandas sedia ada menjadi tandas mesra OKU pula memerlukan kos lebih kurang RM15,000, oleh itu kami harap tabung yang dilancarkan ini mampu mencapai sasaran," katanya ketika ditemui Bernama di UiTM Cawangan Kelantan, di sini hari ini.

Sementara itu, Penyelaras U-DServeD UiTM Cawangan Kelantan Noor Azreen Alimin berharap bantuan diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu pelajar OKU menikmati fasiliti yang mesra OKU selari dengan Agenda Pembangunan 2030.

"Setakat ini kita mempunyai lebih 40 pelajar dan staf di UiTM Cawangan Kelantan yang merupakan golongan OKU pelbagai kategori seperti fizikal, penglihatan dan pendengaran.

"Diharapkan masyarakat dapat sama-sama membantu merealisasikan impian kami untuk menaik taraf fasiliti yang ada di universiti ini untuk kegunaan golongan terbabit," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh layari sosial media Persatuan D'Banquers UiTM Cawangan Kelantan di aplikasi Instagram, TikTok dan Youtube atau menerusi akaun Bank Islam ke UiTM AAD1 Kelantan bernombor 03045010004053.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan