DUNIA > BERITA

PASUKAN PENGAMAN PBB KEKALKAN KEDUDUKAN DI LUBNAN DI TENGAH-TENGAH SERANGAN DARAT ISRAEL

06/10/2024 12:33 AM

BEIRUT, 5 Okt (Bernama-Anadolu) -- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan bahawa pasukan pengamannya masih ditempatkan di pelbagai lokasi di seluruh Lubnan, dengan rancangan kecemasan sedia untuk diaktifkan jika diperlukan.

Agensi Anadolu melaporkan jurucakap pasukan pengaman, Andrea Tenenti, mengesahkan dalam kenyataan pada Sabtu bahawa tentera Israel memaklumkan kepada UNIFIL pada 30 Sept mengenai niatnya untuk melancarkan serangan darat terhad ke wilayah Lubnan dan meminta penempatan semula beberapa kedudukan pasukan itu.

Jurucakap itu menambah bahawa pasukan pengaman sentiasa menyesuaikan kedudukan dan aktiviti mereka berdasarkan keadaan semasa.

Tenenti berkata: "Kami mempunyai rancangan kecemasan sedia untuk diaktifkan jika perlu," tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.

Jurucakap itu juga menegaskan bahawa UNIFIL terus menggesa Israel untuk mematuhi Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dianggap sebagai "satu-satunya penyelesaian berkesan untuk mengembalikan kestabilan di rantau ini."

Resolusi yang diterima sebulat suara pada 11 Ogos 2006 itu menyeru pemberhentian sepenuhnya permusuhan antara Hizbullah dan Israel dan menubuhkan zon bebas tentera antara Garisan Biru, sempadan antara Lubnan dan Israel, dan Sungai Litani di selatan Lubnan.

Zon ini adalah bebas daripada pejuang, peralatan ketenteraan, dan senjata, kecuali yang dimiliki oleh tentera Lubnan dan UNIFIL.

Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza pada Oktober tahun lepas yang telah mengorbankan lebih 41,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 2,011 orang terbunuh, lebih 9,500 cedera, dan 1.2 juta lagi kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh meningkatkan konflik Gaza kepada perang serantau yang lebih meluas.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan