AM > BERITA

KPKT Selesai 18 Projek PR1MA Sakit, Enam Dijangka Siap Hujung 2024

05/10/2024 05:17 PM

GEORGE TOWN, 5 Okt (Bernama) -- Sebanyak 18 daripada 24 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dikategorikan sebagai “projek sakit” atau bermasalah di seluruh negara sebelum ini telah berjaya diselesaikan sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata enam lagi projek PR1MA iaitu dua projek masing-masing di Melaka dan Kedah serta masing-masing satu projek di Negeri Sembilan dan Kelantan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Hingga Ogos lepas, PR1MA mempunyai 88 projek bersamaan 54,137 unit di seluruh Malaysia yang berada dalam pelbagai fasa pembangunan dan daripada jumlah itu, sebanyak 61 projek terdiri daripada 41,321 unit telah berjaya disiapkan.

“Sejumlah 27 projek yang terdiri daripada 12,816 unit pula masih dalam fasa pembinaan dan perancangan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Bukit Gelugor (Ideal Residency) kepada pembeli di sini hari ini.

Projek yang terdiri daripada 1,218 unit itu merupakan projek usaha sama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan Ideal Capital Venture Sdn Bhd dan siap lebih awal daripada tarikh dijadualkan iaitu Ogos 2025.

Dalam usaha memastikan semua pemaju perumahan akan membina rumah mengikut keperluan supaya tiada overhang properties pada masa depan, Nga berkata KPKT dalam proses membangunkan Big Data Analytic Software yang dibekalkan kepada semua pihak termasuk pemaju supaya mereka tahu jenis dan kos rumah yang diperlukan mengikut kawasan.

Sementara itu, beliau berkata KPKT menyasarkan jualan sektor hartanah dapat mencapai RM200 bilion menjelang hujung tahun ini yang akan merancakkan lagi ekonomi, selain 200 industri lain yang berkait rapat dengan sektor itu termasuk kontraktor, subkontraktor, perabot, elektrik, perbankan dan perundangan turut mendapat impak positif.

"Sektor hartanah terus berkembang dengan sihat dan pada Januari KPKT telah tetapkan jumlah sasaran jualan sektor hartanah iaitu RM100 bilion, kita berasa amat bersyukur kerana dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah mencapai tahap indeks prestasi utama (KPI) itu.

“Jumlah jualan sektor hartanah dalam negara telah mencapai RM115 bilion dalam tempoh enam bulan pertama dan sekiranya segalanya berjalan dengan lancar, kita akan mencapai jualan hampir RM200 bilion tahun ini," katanya.

Nga berkata apabila sektor hartanah berkembang dengan sihat khususnya rumah-rumah mampu milik, ia akan dapat mewujudkan lebih banyak lagi ruang dan peluang pekerjaan untuk semua yang terlibat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan