AM > BERITA

Pemimpin Lelaki Bersama HAWA Bela Nasib Rakyat, Selaras Bantuan Mangsa Banjir

06/10/2024 04:47 PM

GEORGE TOWN, 6 Okt (Bernama) -- Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) tidak hanya dipimpin golongan wanita, tetapi turut dianggotai pemimpin lelaki yang mempunyai pelbagai pengalaman bagi membantu perjuangan membela nasib rakyat.

Pengerusi HAWA Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata mereka bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menyelaraskan misi dan visi kerajaan bersama rakyat.

“Inilah peranan HAWA dan kita juga berperanan sebagai penyambung antara rakyat dan kerajaan termasuk kerajaan negeri dengan (HAWA) menyalurkan masalah, cadangan serta permintaan rakyat kepada kerajaan.

“Pada masa sama, rakyat juga mendapat maklumat serta polisi apa yang kerajaan laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran HAWA Meet Penang 2024 di sini hari ini.

Pelancaran itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Datuk Rashidi Zinol dan turut dihadiri Pengerusi HAWA Pulau Pinang Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 70 NGO berkaitan hal ehwal wanita tempatan di Pulau Mutiara mengadakan sesi pertemuan bersama Shahrizat untuk bekerjasama dengan HAWA dalam pelbagai isu.

Sementara itu, Norliza berkata HAWA Pulau Pinang bersedia menjadi penyelaras kepada NGO di negeri berkenaan agar bantuan kepada mangsa banjir dapat memenuhi keperluan setiap mangsa.

“Ketika banjir, kadang-kadang kita lihat apabila semua NGO bagi beras kepada mangsa, mereka memerlukan banyak lagi barangan lain selain beras.

“Jadi HAWA Pulau Pinang akan selaraskan NGO agar bentuk bantuan kepada mangsa lebih efektif dan barangan yang kita sumbang kepada mangsa merangkumi keseluruhan keperluan ahli keluarga,” katanya.

HAWA ditubuhkan pada 22 Mac tahun lepas selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama Pasca Pemilihan UMNO 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan