AM > BERITA

AIPA 2025: Malaysia Manfaatkan Peluang, Perlihatkan Kebijaksanaan Diplomasi Legislatif

27/10/2024 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Malaysia selaku tuan rumah Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 pada 2025 akan memanfaatkan peluang memperlihatkan kebijaksanaan diplomasi legislatif yang diamalkan di negara ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Johari yang kini memegang tampuk presiden AIPA ke-46 berkata dasar terbuka membolehkan Malaysia mengukuhkan kedudukannya di samping sering menjadi pengantara dalam menyelesaikan banyak konflik di Asia Tenggara.

“Malaysia sudah berjaya lebih 60 tahun dan (penganjuran) AIPA ke-46 ini akan membuktikan kejayaan kita yang bukan sahaja membangun sebagai entiti individu, tetapi juga satu entiti serantau yang tidak boleh diketepikan kerana jika disatukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN merupakan keempat tertinggi di dunia dengan populasinya hampir 670 juta orang.

“Walaupun dalam kalangan negara ASEAN ada sedikit masalah di sana-sini, tetapi ia dapat diselesaikan dengan begitu baik tanpa menggunakan kekerasan dan keterlibatan yang kita (Malaysia) adakan sebelum ini berjaya membantu ASEAN bersatu padu dan saling menghormati,” katanya kepada Bernama. 

Johari yang ditemui selepas majlis penutup Perhimpunan Agung AIPA ke-45 di Vientiane, Laos baru-baru ini, juga optimis isu di Myanmar dapat dibantu menerusi cara ketimuran dan ASEAN. 

Selain itu, beliau juga memaklumkan sepanjang menerima kunjungan hormat oleh delegasi dari negara anggota AIPA termasuk negara-negara pemerhati, beliau melihat mereka meletakkan harapan tinggi buat Malaysia selaku penganjur AIPA 2025 dan memberi komitmen akan menghantar jumlah delegasi yang ramai. 

Johari berkata kesiapsiagaan Parlimen Malaysia untuk menjadi tuan rumah AIPA ke-46 perlu dilakukan awal bagi memastikan kejayaan mesyuarat agung selepas ini membuahkan kejayaan dan penganjurannya jauh lebih baik daripada sebelum ini. 

“Penganjuran yang baik memerlukan antara lain perancangan yang rapi, persembahan yang elok, serta penyertaan daripada delegasi negara-negara pemerhati yang ramai. Lebih 500 delegasi hadir ke Vientiane dan perbincangan serta dialog juga amat berkualiti,” katanya yang menyifatkan isu yang diketengahkan pada AIPA kali ini sebagai amat penting dan berjaya.  

Mesyuarat empat hari bertemakan Peranan Parlimen dalam Meningkatkan Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Inklusif ASEAN bermula 18 Okt lepas di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), Vientiane mengumpulkan delegasi daripada parlimen negara anggota ASEAN, pemerhati dan rakan pembangunan AIPA.

Kemuncak AIPA ke-45 Laos membuahkan hasil yang produktif, dengan 37 resolusi dipertimbangkan dan diterima pakai selepas beberapa siri mesyuarat berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan