AM > BERITA

Ahli Parlimen Bangkit Isu Keterjaminan Makanan

28/10/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Isu keterjaminan makanan antaranya cadangan untuk menambah stok penimbal makanan asas, Kadar Sara Diri (SSR) beras negara serta harga lantai pembelian padi, dibangkitkan ahli Parlimen pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 hari ini.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas-Bukit Gantang) berkata kerajaan, perlu bersedia menghadapi krisis makanan sekiranya berlaku ketidakstabilan geopolitik dunia, dengan menyediakan stok penimbal makanan asas seperti beras, gula, ikan, ayam, daging, tepung dan minyak masak.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan satu badan strategik untuk menyelaras bekalan makanan asas berkenaan.

“Buat masa ini hanya beras sahaja diberikan peruntukan undang-undang agar disediakan stockpile bekalan. Belum ada agensi dipertanggungjawabkan untuk menyediakan stockpile jangka panjang bagi ayam dan daging,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini. 

Bagi stok penimbal ikan, Syed Abu Hussin Hafiz berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menjalankan penyimpanan stok melalui kaedah pembekuan.

Bagaimanapun beliau berpendapat ia perlu ditambah, kerana stok bahan asas berkenaan belum mencukupi untuk menjamin kestabilan bekalan serta harga semasa musim tengkujuh dan sekiranya berlaku konflik dunia.

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), untuk memberi penjelasan mengenai faktor penurunan SSR beras negara kepada 56.2 peratus berbanding 62 peratus sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen berkata keadaan ini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan.

Pada 11 Okt, KPKM berkata SSR beras negara pada kadar 56.2 peratus berdasarkan asas pengiraan baharu SSR selaras dengan piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan kerajaan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 untuk satu metrik tan kepada RM1,800, bagi mengimbangi kenaikan kos mengusahakan sawah ketika ini.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan tidak mengapungkan harga beras import supaya harga beras dapat distabilkan seterusnya harga barangan lain akan menurun.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan