AM > BERITA

MARA Taja Pelajar Cemerlang Sertai Program Khas 'Ivy League' Bermula Tahun Depan

30/10/2024 07:34 PM

KOTA BHARU, 30 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menaja pelajar cemerlang di negara ini untuk menyertai program khas ke universiti 'Ivy League' yang dijangka bermula pada tahun depan, kata Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata projek program khas tersebut sudah berada di peringkat akhir sebelum ia mula dilaksanakan kerana pihaknya masih meneliti dengan lebih lanjut berkaitan universiti yang dipilih, yuran pengajian dan program yang akan ditawarkan kepada pelajar terlibat.

"Kita akan buat projek khas dengan memilih pelajar yang cemerlang untuk kita bawa mereka pergi ke universiti terkemuka seperti Cambridge, Oxford serta Harvard yang dipanggil 'Ivy League'.

"Projek program khas ini sudah berada di peringkat akhir dan kita mahu teliti lagi dari segi pemilihan universiti, bayaran yuran pengajian serta program yang dipilih itu sama ada ia diperlukan dan relevan kepada negara untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru 2024 (ICTE'24) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata sebanyak 4,577 pelajar cemerlang tajaan MARA dihantar melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun ini dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM2 bilion.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan kementerian berkaitan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melihat bidang strategik yang diperlukan oleh negara seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), kejuruteraan dan komputer sains.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai premis perniagaan di bawah MARA yang dilihat 'lesu', Asyraf Wajdi berkata pihaknya sedang meneliti keseluruhan 6,666 premis tersebut dan tindakan tegas akan diambil sekiranya peniaga tidak menguruskan perniagaannya secara bersungguh-sungguh.

"Sejak awal tahun ini saya telah buat ketetapan tegas bagi premis yang beroperasi atas nama sahaja atau dijadikan stor, suam-suam kuku tak dibuka hingga beri kesan kepada usahawan yang serius mahu berniaga...kita akan ambil tindakan, bahkan sudah diambil tindakan dalam siri terjah saya sebelum ini.

"Kita tidak mahu mereka (peniaga) ambil kesempatan daripada harga sewaan begitu rendah yang diberikan dengan mengambil hak orang lain yang bersungguh-sungguh mahu melebarkan perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan