AM > BERITA

Lazada Lancar Ciri Genai, Revolusi Pengalaman Beli-belah, Penjual

30/10/2024 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Platform e-dagang Asia Tenggara Lazada Group (Lazada) hari ini melancarkan ciri dalam aplikasi serba baharu dikuasakan GenAI yang menjanjikan revolusi membeli-belah dengan menawarkan pengalaman yang lebih diperibadikan, menarik dan dinamik kepada pembeli.

Lazada memaklumkan dalam kenyataan hari ini, ciri GenAInya termasuk pembantu beli-belah peribadi dikuasakan kecerdasan buatan (AI) 'AI Lazzie', pengesyoran pintar, maklumat produk dan model dijana AI, yang meletakkan platform itu terkehadapan dalam landskap e-dagang yang sedang berkembang di Asia Tenggara.

Pada masa sama, menurut Lazada, platform itu turut melancarkan kertas putih "Penggunaan Kecerdasan Buatan dalam e-Dagang di Asia Tenggara" yang dibangunkan bersama Kantar, untuk lebih memahami kesedaran AI, kepercayaan dan keutamaan, tingkah laku membeli-belah dan isu pengguna di rantau ini .

“Lazada juga memanfaatkan alat terjemahan AI yang baru dilancarkan Alibaba, Marco MT, untuk menyokong keperluan penyetempatan kepelbagaian bahasa di rantau Asia Tenggara. Alat terjemahan AI itu adalah berdasarkan model milik Alibaba Qwen dan direka bentuk untuk membantu penjual membuat halaman produk dalam bahasa pasaran yang disasarkan.

“Versi yang dipertingkatkan - Marco MT, dikuasakan oleh model bahasa yang besar, dengan keupayaan untuk mentafsir petunjuk yang mengikut konteks pasaran seperti istilah budaya dan industri yang khusus,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, menurut Lazada ciri GenAI akan turut mengubah empat dimensi kritikal (4D) beli-belah e-dagang iaitu Penemuan (Discovery), Kebolehpercayaan (Dependability), Tawaran (Deals) dan Membuat Keputusan (Decision Making), untuk memberi pengalaman yang lebih diperibadikan dan interaktif.

Lazada menjelaskan dengan dimensi Penemuan, GenAI menawarkan penambahbaikan carian produk dan inspirasi membeli-belah iaitu AI membentuk semula cara pembeli menemui produk pada platform dengan menyediakan saranan yang diperibadikan dan meningkatkan kecekapan carian.

Bagi Kebolehpercayaan, Lazada kini menawarkan kandungan yang lebih dinamik dan menarik pada platformnya, sebagai contoh, penerangan dan imej produk yang dijana AI boleh disesuaikan dengan kawasan, bahasa dan nuansa budaya yang berbeza, memastikan pembeli merasa lebih ‘dekat’ dengan produk yang dilayari.

Dimensi Tawaran pula akan membantu pembeli mencari nilai terbaik dalam platform menerusi tawaran yang diatur AI, baucar eksklusif dan integrasi LazCoins, manakala Membuat Keputusan akan membantu mereka membuat pilihan membeli-belah yang lebih bijak dengan membuat keputusan pembelian berdasarkan fakta dan data.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group James Dong dalam kenyataan sama berkata platform itu meramalkan bahawa GenAI akan mempercepatkan revolusi e-dagang dan membentuk semula cara orang ramai membeli-belah, menjual dan melibatkan diri.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan setiap pengalaman lebih menepati kehendak pembeli, lebih bersifat individu, efisien dan menyeronokkan. Menerusi inovasi ini, kami bukan sahaja menyokong pembeli kami, tetapi juga memperkasakan penjual kami untuk membuat keputusan yang lebih bijak, dipacu data, daripada kedudukan produk kepada penglibatan pelanggan.

“Memandangkan Lazada melaksanakan AI pada skala besar, kami berusaha untuk mewujudkan senario menang menang bagi semua pemain e-dagang di samping mengekalkan sentuhan manusia yang kekal penting dalam memupuk hubungan yang tulus dan berkekalan dengan pembeli, penjual dan rakan kongsi kami dalam ekosistem,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan