AM > BERITA

Terengganu Salur RM4.2 Juta Baik Pulih Rumah Rosak Akibat Ribut

03/11/2024 03:51 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menyalurkan RM4.2 juta bagi membaiki 1,177 buah ruma yang rosak akibat kejadian ribut di seluruh negeri itu pada September dan Oktober lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata 75 peratus rumah yang kebanyakannya mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan atap, telah dibaiki.

“Semua yang kita kenal pasti di seluruh Terengganu ada (kerosakan rumah akibat ribut) kecuali yang sangat minima di Dungun dan Kuala Nerus. Semuanya dalam proses pembaikan.

“Kebanyakan kerosakan rumah melibatkan bahagian atap tercabut dan tidak boleh dipakai lagi, jadi kerja-kerja membaiki atap itu lebih cepat boleh disiapkan, berbanding kerosakan struktur bangunan. Ada juga struktur bangunan yang rosak akibat ribut, tetapi jumlahnya sangat minima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu, di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan mengurniakan bintang, pingat dan sijil pengakap raja kepada kesemua 179 penerima pada majlis berkenaan.

Sepanjang September dan Oktober, hampir semua daerah di negeri itu dilanda beberapa siri kejadian ribut termasuk pada 23 Okt, apabila bandar Chukai dan kawasan dalam radius kira-kira tiga kilometer di sekitarnya dikejutkan dengan fenomena hujan air batu yang turut disertai ribut kuat.

Kejadian yang berlaku jam 4 petang dan berlangsung selama 10 hingga 15 minit itu, mengakibatkan 244 buah rumah dan tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan