AM > BERITA

SPRM Pulau Pinang Perhebat Program Antirasuah Di Sekolah

05/11/2024 01:45 PM

GEORGE TOWN, 5 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang memperhebatkan kempen dan program di semua sekolah negeri itu bagi memberi pendedahan di peringkat akar umbi berhubung keburukan gejala rasuah.

Pengarah berkenaan Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata beliau percaya pendedahan awal secara berterusan tentang keburukan rasuah dapat menjauhkan masyarakat daripada melakukan atau terlibat dengan kesalahan berkenaan.

"SPRM Pulau Pinang menjalankan pelbagai program antirasuah di sekolah, terutama sekolah rendah kerana kami hendak beri pendidikan dari akar umbi tentang keburukan rasuah dan menerapkan semangat kebencian kepada rasuah supaya mereka tahu mengenainya.

"Seterusnya kita juga buat program di peringkat universiti seperti Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah, ia adalah platform ataupun inisiatif yang dapat membantu kita memberi pendedahan berterusan kepada mereka yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pengukuhan Tatakelola MADANI dan Impaknya Kepada Masyarakat anjuran Pejabat Jaringan Masyarakat Bahagian Jaringan Industri Dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Murad Md Noor Sains@USM Bukit Jambul, dekat sini hari ini.

Sesi forum itu disertai Anggota Pasukan Petugas Khas Indek Persepsi Rasuah dan Panel Semakan Operasi SPRM Dr Mazlan Ahmad, Timbalan Presiden 2 Pemerhati Rasuah Malaysia Datuk Dr G.P Doraisamy dan Pengarah Sosiologi Politik USM Prof Datuk Dr P.Sivamurugan.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata pihaknya juga berharap forum hari ini dapat dijadikan platform untuk SPRM menyebar luas lagi segala maklumat berkaitan antirasuah termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) kepada pelajar universiti.

Beliau berkata NACS adalah sebagai pelan yang komprehensif untuk menggembleng segala usaha menangani pelbagai isu berkaitan tatakelola, integriti dan pencegahan rasuah.

"SPRM mempunyai peranan dalam NACS itu dan apa yang dilaksanakan oleh penganjur hari ini diharap dapat diteruskan dan kami sangat hargainya kerana ia antara platform untuk kami di SPRM berkongsi maklumat, dan dalam masa sama memberi pendedahan mengenai antirasuah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan