KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Sebarang penyediaan program perumahan serta penggubalan undang-undang dan peraturan berkaitan perumahan adalah bersifat neutral dan tidak meminggirkan atau mendiskriminasi mana-mana bangsa dan agama, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kementerian itu memaklumkan kerajaan MADANI berpegang teguh dengan prinsip bahawa semua rakyat dilindungi hak dan kepentingan mereka secara saksama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Selaras dengan prinsip berkenaan, Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman (RTA) yang digubal ini turut mendukung prinsip perundangan yang bersifat neutral tanpa mendiskriminasi mana-mana kaum dan agama.
“Justeru, sebarang aktiviti sewaan kediaman yang dilaksanakan tertakluk kepada persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Selain itu, rang undang-undang ini turut menyediakan mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam aktiviti sewaan kediaman kelak,” menurut KPKT dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu sama ada KPKT mempunyai garis masa dalam menggubal Akta Sewaan Kediaman dan penyelesaian isu diskriminasi kaum dan agama dalam sewaan kediaman.
Menurut KPKT, penggubalan rang undang-undang itu berupaya mengimbangkan hak dan kewajipan pemilik kediaman dan penyewa tanpa melibatkan elemen kawalan terhadap kadar sewaan.
Bagi penggubalan RTA, KPKT telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus termasuk proses konsultasi awam pada 2022 dan berdasarkan dapatan konsultasi awam itu, wujud keperluan untuk meneliti semula keseluruhan aspek termasuk menyusun kembali tindakan susulan bagi proses penggubalan.
“Ini termasuk keperluan pelaksanaan libat urus khusus dengan semua kerajaan negeri serta pihak berkepentingan terutamanya yang terlibat dalam pelaksanaan RTA kelak.
“Sejajar dengan penetapan strategi terbabit, KPKT telah mengatur sesi libat urus bersama kerajaan negeri serta pihak-pihak berkepentingan bermula November 2024 dan dijangka selesai pada suku pertama 2025,” menurut kementerian itu.
KPKT menjelaskan maklum balas dan pandangan yang diterima hasil sesi libat urus itu akan diambil kira dalam proses menambah baik draf rang undang-undang berkenaan sebelum dimuktamadkan bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara serta tidak bercanggah dengan mana-mana perundangan dan peraturan sedia ada.
KPKT turut berpandangan undang-undang baharu itu mampu merancakkan sektor sewaan agar lebih kompetitif dan memudah cara industri sewaan kediaman dengan tadbir urus yang lebih baik tanpa menjejaskan hak dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial