AM > BERITA

KPKM Bangunkan Semula Tanah Sawah Terbiar Untuk Tanaman Padi

05/11/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menumpukan usaha membangunkan semula tanah sawah terbiar untuk penanaman padi sekali gus meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi tujuan itu, kementerian sudah mengenal pasti beberapa kawasan tanah sawah terbiar di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Berdasarkan statistik tahun lepas, tahap SSR beras negara hanya mencapai 56.2 peratus dan selebihnya masih perlu diimport. Apa akan jadi jika suatu hari nanti negara lain menghentikan eksport beras mereka?

“Dengan ketegangan geopolitik dunia dan perubahan cuaca luar jangka yang berlaku sekarang, sekatan eksport tidak mustahil boleh berlaku,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) di sini hari ini.

Beliau berkata antara faktor banyak tanah sawah terbiar adalah disebabkan penghijrahan dan kurangnya minat generasi muda terhadap penanaman padi.

Sementara itu, Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa KPKM tidak akan campur tangan dalam urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Beliau bagaimanapun berkata KPKM akan sentiasa memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam apa jua pertolongan yang diperlukan oleh SPRM dalam urusan tersebut.

“Saya harap semua tidak perlu bimbang dengan operasi NAFAS pada waktu penggantungan ini kerana ia akan diuruskan oleh barisan pentadbir yang mahir dalam tugasan mereka,” katanya.

Pada 29 Okt lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah kementerian berkenaan.

Susulan itu pada 1 Nov lepas, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin dilaporkan berkata Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa pada hari sama, bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan