EKONOMI > BERITA

KL BERSIAP UNTUK EKSPO BANDAR PINTAR PERTAMA ASIA TENGGARA - GOBIND

05/11/2024 10:32 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

Barcelona, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan menganjurkan Ekspo Bandar Pintar (SCE) di Kuala Lumpur mulai 17 hingga 19 Sept 2025.

Penganjuran itu menonjolkan komitmen negara terhadap inovasi dan pembangunan bandar digital yang mampan di sampung menjadi peneraju di ASEAN. 

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penganjuran acara ini akan menjadi satu langkah penting bagi Malaysia memandangkan ia sedang membangunkan keupayaannya dalam teknologi bandar digital.

“Persediaan sedang dijalankan dan kami komited untuk mencipta acara yang mempamerkan kemajuan teknologi selain memupuk dialog bermakna mengenai masa depan perbandaran,” katanya pada pelancaran Pavilion Malaysia untuk Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar 2024 (SCEWC 2024).

Delegasi Malaysia ke SCEWC 2024 diterajui Gobind, beliau juga diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital Corporation, Adrian Marcellus Edgar Marcellus dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil serta Ketua Pegawai Strategi Digital Nasional Bhd, Datuk Ahmad Zaki Zahid. 

Pengumuman mengenai SCE Kuala Lumpur dibuat pada majlis perasmian SCEWC 2024, yang turut mengetengahkan penganjur lain seperti SCE Curitiba di Brazil (Mac), SCE USA (April), Kongres SCE Latam di Mexico (Jun) dan SCE Santiago del Estero di Argentina (Jun).

Menurut menteri tersebut, Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 akan menjadi platform yang mana pelbagai pihak berkepentingan, akan  berkumpul untuk meneroka potensi pembangunan bandar digital dan pintar.

“Kami merancang acara di sekitar kawasan utama untuk memastikan pengalaman yang komprehensif selain memperkayakan pengalaman semua peserta. 

“Ini termasuk bangunan pintar yang dilengkapi dengan teknologi Internet Pelbagai Perkara, sistem pengangkutan termaju yang menekankan ketersambungan serta kemudahan, dan penyelesaian tenaga yang mengutamakan kelestarian, ianya akan mengubah Kuala Lumpur menjadi makmal masa nyata kepada penyelesaian perbandaran yang pintar,” katanya.

Selain itu, ekspo berkenaan akan mempamerkan bakat dan inovasi tempatan Malaysia, mencerminkan komuniti usahawan yang berkembang maju yang sedang membangunkan penyelesaian kreatif bagi menangani cabaran tempatan.

Semasa SCEWC edisi tahun ini, 11 pempamer Malaysia akan memaparkan pelbagai projek serta inisiatif yang mencerminkan usaha berterusan mereka untuk menyepadukan teknologi pintar ke dalam landskap perbandaran.

Firma-firma ini ialah Aerodyne Group, Agmo Holdings Bhd, Sonicboom Solutions Sdn Bhd, SWS Inntech Sdn Bhd, Telekom Research & Development, Virtual Tech Frontier Sdn Bhd, Malaysia Smart City Alliance, TMOne, Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Ampang Jaya. 

Gobind menjelaskan lagi, penyertaan Malaysia dalam SCEWC didorong oleh matlamat negara bagi menjadi peneraju utama dalam pengembangan masa depan perbandaran pintar.

“Kami berada di sini untuk mempamerkan kerja-kerja kami, terutamanya dalam pengangkutan pintar, perancangan bandar yang mampan dan teknologi yang menumpukan kepada komuniti,” katanya.

“Kongres dunia ini juga menawarkan kami peluang untuk belajar daripada model yang berjaya di seluruh dunia seperti NEOM, sebuah perbandaran yang sedang dibina di Arab Saudi, yang mana teknologi canggih seperti mobiliti autonomi dan perkhidmatan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) sedang digunakan dalam membina persekitaran bandar yang mampan dan visi yang melangkaui ke hadapan,” katanya.

Beliau turut berkongsi contoh lain seperti pembangunan pesat perkhidmatan digital pintar Ukraine iaitu aplikasi Diia, yang membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan, menunjukkan bagaimana teknologi boleh memudahkan interaksi harian, walaupun sedang menghadapi cabaran yang ketara.

“Di Pavilion Malaysia, anda akan menemui projek dan inisiatif yang merangkumi komitmen Malaysia untuk mengubah bandar kami dengan teknologi pintar.

“Setiap projek yang dipamerkan menyerlahkan bukan sahaja teknologi inovatif yang digunakan tetapi juga impak dunia sebenar mereka, memenuhi keperluan komuniti kami termasuk bertujuan meningkatkan kualiti hidup di seluruh negara,” kata Gobind.

SCEWC 2024 bermula dari 5 hingga 7 Nov, dianjurkan setiap tahun oleh Fira de Barcelona.

Lebih 25,000 hadirin yang mewakili 850 bandar, 1,100 pempamer dan 600 penceramah dijangka berkumpul di sini untuk menggerakkan bandar ke arah masa depan yang lebih baik seperti mobiliti, perumahan, ketersambungan, keselamatan dan bangunan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan