AM > BERITA

Perbadanan Labuan, Petronas Setuju Terokai Beberapa Bidang Termasuk Pendidikan - Dr Zaliha

05/11/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Labuan bersetuju meneroka potensi kerjasama dengan Petronas dalam aspek pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti serta alam sekitar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata persetujuan berkenaan dicapai ketika beliau bertemu pengurusan Petronas Labuan hari ini sempena lawatan kerja ke pulau bebas cukai itu. 

Beliau berkata sebagai satu daripada pihak berkepentingan terbesar di Labuan terutama dalam industri cari gali, Petronas juga menyambut baik penyelesaian daripada kerajaan berhubung beberapa isu dan cabaran dihadapi syarikat itu termasuk mengenai bekalan elektrik.

“Ada beberapa isu dan cabaran yang dibentangkan kepada saya khusus yang memberi impak kepada anak syarikat Petronas iaitu Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd (PC Methanol), syarikat ini merupakan pengeksport gas metanol terbesar di Asia Tenggara.

“Saya ambil maklum dan jelaskan bahawa kebanyakan isu dan cabaran ini telah diselesaikan dalam tahun ini seperti elektrik, air dan kelengkapan fasiliti di Hospital Labuan. Alhamdulillah, mereka menyambut baik penyelesaian tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dr Zaliha berkata pertemuan itu turut membincangkan potensi untuk meneroka peluang menarik pelaburan dalam industri pembuatan produk di Labuan dengan memanfaatkan keluaran gas metanol daripada Petronas.

Selain itu, beliau juga dimaklumkan bahawa loji jana kuasa baharu Petronas di Rancha-Rancha berkapasiti 120 Megawatt dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2028 sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Labuan.

“Ada beberapa cadangan turut dibangkitkan yang saya kira boleh dipertimbangkan termasuk cadangan mengoptimumkan Labuan sebagai pulau bebas cukai. Ini kita boleh kaji dengan lebih lanjut dan dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan