AM > BERITA

Pengeluar Simen Malaysia Labur Lebih RM200 Juta Kawal Pencemaran Udara

05/11/2024 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov  (Bernama) -- Pengeluar simen di Malaysia melabur lebih RM200 juta dalam sistem kawalan pencemaran udara yang membawa kepada pengurangan pelepasan dan peningkatan hasil alam sekitar yang ketara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata selama dua dekad ini pemain industri telah membuat pelaburan besar dalam memodenkan kilang, mengurangkan penggunaan arang dan tenaga elektrik melalui teknologi pengeluaran lebih maju dan peralatan yang efisien.

Oleh itu, Nik Nazmi menegaskan lebih banyak pemain industri perlu mempertimbangkan penggunaan teknologi rendah karbon seperti penyingkiran karbon dioksida serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Menggabungkan CCUS dalam pengeluaran simen penting untuk mengurangkan jejak karbon industri, memenuhi komitmen iklim dan mempersiapkan syarikat untuk masa depan rendah karbon serta mematuhi langkah-langkah antarabangsa. 

“Peranan pemangkin lain seperti inisiatif harga karbon boleh mewujudkan insentif ekonomi untuk syarikat mengguna pakai teknologi CCUS dan menurunkan kos pelaksanaannya dari masa ke masa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Simposium dan Pameran Persekutuan Pengeluar Simen ASEAN (AFCM) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata dengan mengguna pakai prinsip ekonomi kitaran seperti menukar aliran sisa sebagai bahan mentah dan bahan api alternatif, industri boleh mengalihkan hampir tiga juta tan sisa daripada tapak pelupusan sampah setiap tahun, mewujudkan kitaran pengeluaran lebih mampan.

Beliau berkata pengeluaran simen dan konkrit mesra alam juga semakin mendapat perhatian dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri serta menyokong matlamat kelestarian serantau.

“Menyesuaikan teknologi hijau dan komitmen terhadap kelestarian penting bagi memastikan daya saing jangka panjang sektor simen.

“Kerajaan kekal komited terhadap pengurangan karbon dan sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menggalakkan penyahkarbonan industri yang akan menyumbang kepada pencapaian matlamat Perjanjian Paris dan pelepasan gas rumah hijau (GRK) sifar bersih global menjelang 2050,” katanya.

Nik Nazmi menegaskan bahawa perbincangan berterusan serta kerjasama antara kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri adalah penting agar selaras dengan matlamat iklim negara dan serantau.

Melalui perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, beliau berkeyakinan bahawa masa depan boleh dibina bukan sahaja untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih tetapi juga memastikan daya tahan dan pertumbuhan industri simen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan