AM > BERITA

Manfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 Untuk Selesai Isu Serantau - Ahli Parlimen

05/11/2024 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan disaran memanfaatkan sebaik mungkin Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebagai landasan untuk menyelesaikan pelbagai isu di rantau ini.

Pada hari terakhir perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) menggesa Malaysia menggunakan kesempatan ini untuk membincangkan isu utama seperti kelestarian alam melalui dialog bersama menteri dan pegawai kanan ASEAN.

“Sudah tiba masanya kita berani melangkah ke hadapan untuk melabur dalam masa depan yang mampan dan memastikan rantau ASEAN menjadi teladan dalam mendepani cabaran perubahan iklim. 

“Kita perlu bertekad merealisasikan visi Pelan Strategik Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN 2025 dengan mewujudkan rantau di mana kualiti hidup penduduk ditingkatkan melalui inisiatif berpusatkan rakyat, mesra alam, dan berdasarkan prinsip pembangunan lestari,” katanya.

Beliau berkata ini adalah masa yang sesuai untuk memulakan perubahan besar bukan sahaja generasi kini dan akan datang.

Sementara itu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan peruntukan ASEAN 2025 dengan melaksanakan program di beberapa lokasi, termasuk Langkawi.

Beliau berharap sebahagian daripada peruntukan RM375 juta dalam Belanjawan 2025 dapat digunakan untuk mengadakan program di Langkawi, sejajar dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan.

Dalam perbahasan tersebut, Ahli Parlimen turut mengusulkan agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ditempatkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) menyarankan penyeragaman ini untuk memudahkan koordinasi dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Beliau berkata langkah itu akan memperkukuh sektor sawit dan getah, menjadikan pentadbiran FELDA lebih efektif.

Penyeragaman ini dijangka meningkatkan keberkesanan dalam usaha memperkasa ekonomi luar bandar.

Seramai 15 Ahli Parlimen menyertai sesi perbahasan hari ini, melengkapkan jumlah 156 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang, dan Bebas yang telah selesai berbahas dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan yang berlangsung selama lapan hari sejak 21 Okt.

Sesi penggulungan oleh menteri bagi kementerian masing-masing bermula esok sehingga 12 Nov ini. 

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan