KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- KPJ Healthcare University (KPJU) mengekalkan kecemerlangan dalam menyediakan pendidikan penjagaan kesihatan di negara ini, dengan melahirkan 1,088 graduan pada Majlis Konvokesyen ke-26 universiti berkenaan di sini hari ini.
Canselor KPJU Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin berkata majlis konvokesyen tahun ini lebih istimewa kerana universiti berkenaan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada seorang profesor buat kali pertama.
Beliau berkata pakar pediatrik terkemuka negara dan perintis dalam perubatan pernafasan kanak-kanak, Prof Datuk Dr Azizi Omar yang mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam bidang itu merupakan penerima anugerah berkenaan.
“Kali ini ialah yang pertama Senat KPJU menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus yang mengiktiraf keilmuan, ketokohan dan kejayaan seorang profesor dalam bidang kepakaran mereka.
“Tidak dapat dinafikan, Prof Datuk Dr Azizi telah banyak menyumbang kepada universiti dan masyarakat. Pengiktirafan hari ini menyerlahkan kerja keras, dedikasi dan ketabahan beliau,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen KPJU ke-26 di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor KPJU Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim berkata konvokesyen tahun ini merekodkan sebanyak 21 graduan ijazah sarjana, yang tertinggi dalam sejarah konvokesyen universiti itu.
Beliau berkata sebanyak 55 pelajar menamatkan pengajian dalam dua program baharu yang ditawarkan oleh universiti berkenaan iaitu Diploma Pembantu Bilik Bedah (DORA) dan Sijil Lanjutan Kejururawatan Kecemasan.
“Pada konvokesyen kali ini, KPJU (juga) telah melahirkan dua pakar perubatan, iaitu Dr Divann Esvaran (Pakar Radiologi) dan Dr Christopher Weeraj (Pakar Bedah Am).
“KPJU ialah satu-satunya universiti swasta yang mendapat akreditasi MQA dan diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia untuk latihan doktor pakar dalam tujuh bidang kepakaran, iaitu Pembedahan Am, Ortopedik, Telinga Hidung Tekak, Radiologi, Anestesiologi, Pediatrik dan Perubatan Dalaman,” katanya.
Sejak penubuhannya 33 tahun lepas sebagai kolej kejururawatan, KPJU telah melahirkan lebih 14,000 graduan penjagaan kesihatan profesional daripada tiga institusi di negara yang terletak di Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.
Dengan sokongan daripada 29 Hospital Pakar KPJ di negara ini, KPJU dan kolej gabungannya dapat menyediakan latihan penting kepada pelajar.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Canselor Puteri Iffah Irdina Izrul Syahryll, 24, yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan dengan Kepujian berkata perjalanan untuk menggenggam ijazah itu tidak mudah kerana terpaksa bergelut dengan perasaan sedih kehilangan bapa ketika menamatkan pengajiannya.
“Ayah saya berada dalam keadaan kritikal semasa saya menduduki peperiksaan akhir dan itu ialah cabaran terbesar saya, tetapi saya tetap menghadapinya kerana saya pasti dia juga mahu melihat saya berjaya.
“Saya mendedikasikan anugerah ini kepada arwah ayah dan ibu yang sentiasa menyokong perjuangan saya. Tanpa doa mereka saya tidak akan berjaya sejauh ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis itu.
Penerima Anugerah Naib Canselor Vinnashini Selvaraja, 31, yang mengikuti pengajian Sarjana Sains dalam Teknologi Farmaseutikal berkata mengimbangi pendidikan dan kerjaya sebagai pelajar sambilan bukanlah satu perkara yang mudah.
“Saya perlu bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang dan selepas itu menyiapkan tesis dan kerja penyelidikan, tetapi saya berterima kasih kepada bapa serta syarikat tempat saya bekerja kerana memahami dan memberi sokongan penuh kepada saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial