Oleh Massita Ahmad
SHANGHAI, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan hari ketiga lawatan kerja di sini dengan Sesi Dialog bersama para pelabur China anjuran Khazanah Nasional Bhd.
Antara pelabur terlibat termasuk Chengwei Capital dan NRL Capital.
Terdahulu, Duta Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata objektif lawatan kerja empat hari ke China itu, bermula 4 Nov lepas, bertujuan untuk bertemu pelabur berpotensi bagi meningkatkan ekonomi negara.
“Fokus kali ini (ialah) ekonomi. Jadual padat menanti Perdana Menteri antaranya sesi bertemu syarikat yang berpotensi membuat pelaburan di Malaysia,” katanya dalam sidang media pada Isnin sempena lawatan Perdana Menteri ke China.
Anwar dijangka bertemu beberapa syarikat dan mengadakan sesi meja bulat dengan 23 kapten industri di sini sebelum berlepas ke Beijing petang ini.
Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Lawatan kerja Perdana Menteri ke China adalah atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
CIIE merupakan inisiatif China untuk menyediakan platform kepada negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mempromosi dan mengeksport barangan serta perkhidmatan ke negara itu.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.
Setakat September lepas, jumlah dagangan yang direkodkan ialah RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).
Pada separuh pertama 2024, sebanyak 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion (US$252.5 juta).
Lawatan ini merupakan lawatan ketiga Anwar ke China susulan lawatan sulung beliau ke negara itu pada Mac 2023 diikuti pada September tahun yang sama.
Bagaimanapun ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke Shanghai.
Lawatan kerja tersebut akan berakhir di Beijing, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial