AM > BERITA

Malaysia, Singapura Bersama-Sama Calonkan Chingay Untuk Senarai Warisan Budaya UNESCO

05/11/2024 08:49 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Singapura akan mencalonkan perarakan jalanan Chingay secara bersama untuk dimasukkan ke dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH) pada Mac tahun depan.

Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) Singapura berkata pencalonan bersama ini diputuskan oleh kedua-dua negara, memandangkan terdapat komuniti yang mengamalkan Chingay di Singapura serta di Pulau Pinang dan Johor Bahru, Malaysia.

“Pencalonan bersama ini memperingati ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia pada tahun 2025, serta memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk mempromosikan pertukaran budaya dan kerjasama rentas budaya,” kata NHB dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura Edwin Tong berkata pencalonan bersama ini adalah bermakna kerana ia dibuat sebagai sebahagian daripada sambutan memperingati ulang tahun hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran.

“Perarakan Chingay, seperti yang diamalkan di Singapura, mencerminkan masyarakat kami yang berbilang budaya dan pelbagai. Saya berharap lebih ramai rakyat Singapura akan menyokong dan menghadiri perarakan itu pada tahun hadapan, memandangkan 2025 juga menandakan Hari Kebangsaan ke-60 kami,” katanya.

Menurut laman sesawang Roots NHB, perarakan Chingay di Singapura pada awalnya dianjurkan untuk perayaan keagamaan yang didedikasikan kepada dewa-dewa Taoisme.

Perarakan Chingay moden pertama di Singapura diadakan pada 4 Februari 1973, dengan penyertaan sekitar 2,000 peserta. Sejak itu, ia telah berkembang menjadi acara berbilang budaya yang melibatkan peserta dari seluruh Singapura, rantau ini, dan dunia.

Di Johor Bahru, Chingay dianjurkan oleh Persatuan Tionghua Johor Bahru dan diadakan setiap tahun di Tokong Cina Lama Johor Bahru pada hari ke-21 bulan pertama Tahun Baru Cina sejak tahun 1870.

Acara ini menampilkan perarakan kenderaan berhias dan persembahan tradisional dari kumpulan Cina dan bukan Cina.

Di Pulau Pinang, perarakan diadakan sebagai persembahan berbilang budaya dan sekular oleh Persatuan Chingay Pulau Pinang di George Town, melibatkan peserta tempatan dan luar negara.

NHB dan Persatuan Rakyat (PA) akan mengetuai pencalonan di Singapura dan telah mengadakan lima sesi perbincangan kumpulan fokus dari Ogos hingga Oktober 2024 untuk mendapatkan persetujuan dan sokongan daripada pihak berkepentingan utama Chingay bagi pencalonan bersama ini.

Keputusan pencalonan paling awal dijangka diumumkan pada penghujung 2026. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan