AM > BERITA

Ladang Pintar, Metrosfarm Jadi Talian Hayat, Peluang Kedua Buat Gelandangan

07/11/2024 11:16 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

SEPANG, 7 Nov (Bernama) -- Secebis peluang yang diberikan pengusaha ladang pertanian pintar, Metrosfarm di sini, membawa sejuta makna kepada rakan jalanan (gelandangan), Izuddin Mastuki, 41, yang sebelum ini bergelumang dengan jenayah, untuk kembali ke pangkal jalan dengan menggunakan kudrat tenaga yang masih ada.

Berkongsi pengalamannya kepada Bernama, Izuddin yang lebih dikenali sebagai Che Din berkata kehidupannya kini bertukar 360 darjah, daripada seorang yang tidak mempunyai arah hidup dan berasa tersisih kepada pekebun yang mengusahakan ladang pertanian pintar bersama 13 rakan senasib.

“Apabila Ketua Projek Ariff Hishamudin Hussin pilih saya untuk latih saya jadi petani IoT (Internet Benda), saya terima dengan terbuka dan terharu, sebab masih ada lagi insan yang mahu beri peluang kedua dan kepercayaan kepada orang macam saya.

“Saya tidak sangka dapat peluang ini, saya anggap peluang ini sebagai talian hayat buat saya,” kata pemuda yang berasal dari Johor itu.

Mula membanting tulang mencurah keringat di ladang pintar itu sejak awal tahun ini, Che Din berkata beliau telah mengikuti kursus selama tiga bulan bagi mendalami ilmu tentang selok-belok pertanian pintar, khususnya penanaman serta penjagaan sayuran berdaun termasuk kaedah menguruskan sistem IoT dalam bidang pertanian.

“Banyak kali hasil tangan saya bersama rakan lain sudah dituai, saya rasa bangga dan berpuas hati sebab saya asal daripada gelandangan tetapi kini ada hasil tangan dalam bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata segala ilmu yang dicurahkan oleh pasukan Metrosfarm dan Jabatan Pertanian Daerah Sepang, akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan berharap dikurniakan rezeki untuk mengusahakan ladang pertanian sendiri pada masa hadapan, demi menjadi seorang insan yang berguna kepada keluarga serta masyarakat.

“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik sebagai membalas budi terhadap peluang ini. Bagi saya, ilmu yang dikongsikan amat bermanfaat berbanding duit. Sebab ilmu tidak akan habis malah makin bertambah tetapi duit akan habis,” katanya menambah turut menerima elaun bulanan sebanyak RM300.

Berkongsi sejarah penubuhan Metrosfarm, Ariff Hishamudin berkata idea tercetus ketika program amal pengedaran pek makanan kepada golongan rakan jalanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2015.

“Saya terfikir, kenapa kita tidak berikan ilmu kemahiran kepada mereka supaya mereka ini tidak hanya terima bantuan untuk teruskan hidup, sebaliknya diberikan ilmu untuk dimanfaatkan bagi mencari pendapatan sebab masih sihat tubuh badan,” kata anak kelahiran Muar, Johor, berusia 30 tahun itu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sosial Sains Universiti Tun Abdul Razak itu berkata idea itu, kini direalisasikan dengan kewujudan rumah hijau seluas 0.2 hektar di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini yang menempatkan 47 meja semaian mengandungi lebih 14,000 pasu kecil sayuran terdiri daripada salad jenis red coral, green coral dan red oakleaf.

Beliau berkata ladang IoT yang telah beroperasi hampir dua tahun itu kini berjaya melatih 14 rakan jalanan, terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita berusia antara 40 dan 50 tahun dan kejayaan ladang itu ketika ini adalah berjaya memasarkan salad ke beberapa pasar raya di Lembah Klang dan pasaran eksport ke Singapura sejak Mei lepas.

“Satu meja kita boleh tuai red coral dan red okaleaf antara 15 dan 20 kilogram (kg) manakala green coral boleh dapat 30kg,” katanya menambah harga jualan bagi sekilo green coral dan red coral adalah antara RM5 dan RM10, manakala red oakleaf antara RM14 dan RM16.

Mengenai perancangan masa hadapan, Ariff Hishamudin berkata beliau bersama pasukannya berhasrat mewujudkan rumah hijau berkonsep IoT untuk diusahakan pesara kerajaan, dengan sasaran menghasilkan lima tan daun sup sebulan.

“Untuk projek ini, kami telah jumpa KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) tahun lepas, dan ketika ini masih tunggu maklum balas,” katanya berharap kerajaan dapat membantu dari segi dana dan latihan untuk merealisasikan perancangan itu demi menjamin keterjaminan makanan negara.

Sementara itu, pembangun IoT Rano Paimin, 45, berkata rumah hijau berkenaan dilengkapi sistem IoT yang direka sendiri menggunakan ilmu dan kepakaran yang dimiliki, dengan membina sendiri sistem saliran air dan baja, 16 kipas untuk pengudaraan serta tangki air yang boleh dikawal dan dipantau menerusi sistem yang dibangunkan sendiri.

“Kami guna aplikasi Telegram untuk dapatkan notifikasi mengenai kekurangan air atau baja. Kelak, kami rancang untuk tambah baik guna teknologi kecerdasan buatan (AI), sebab AI mampu bagi maklumat ramalan cuaca dan akan kawal sepenuhnya operasi rumah hijau ini,” katanya anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan