BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 AM > BERITA

Karyawan Filem Disaran Manfaat Platform ASEAN-COCI, Semai Budaya Sinema ASEAN

07/11/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) – Karyawan filem di negara ini disaran memanfaatkan platform Jawatankuasa Kebudayaan dan Maklumat ASEAN (ASEAN-COCI) yang boleh menjadi saluran untuk menyemai budaya sinema ASEAN sekali gus meningkatkan apresiasi terhadap filem dalam kalangan negara anggota.

Pensyarah Komunikasi dan Pengajian Filem Universiti Malaya-Wales (UM-Wales) Prof Dr Mahadi J Murat berkata langkah itu selaras dengan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“… kita akan buat beberapa program pertukaran atau kerjasama bersama atau apresiasi, selain platform pertukaran media untuk mempopularkan artis dan juga naskhah antara negara-negara ASEAN.

“Kalaulah kita boleh dapat (menarik) sejuta penonton sahaja pun, kita akan berada pada sasaran yang betul. Inilah yang dibuat oleh negara-negara diluar lingkungan ASEAN seperti Korea Selatan, Jepun dan China,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Dana Industri Kreatif’ terbitan Bernama TV, malam tadi.  

Beliau berkata pengukuhan budaya sinema ASEAN akan menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai satu kuasa penting dalam transformasi kandungan global.

“Dalam negara ASEAN misalnya, kita ada 760 juta warga ASEAN, seharusnya ini adalah kumpulan yang berpotensi yang harus menjadi sasaran kita. Saya percaya, kalau kita boleh menghasilkan filem berasaskan identiti kita, kita akan mencipta sebuah ekosistem yang dapat menarik minat penonton di seluruh Asia Tenggara sekali gus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Justeru, Mahadi berkata penghasilan kandungan filem haruslah mencerminkan identiti Malaysia agar mempunyai nilai pasaran tinggi.

“Kita seharusnya fokus pada penceritaan kita sendiri, bukan meniru filem Hollywood. Kita boleh mengambil ilmu dan teknik daripada Hollywood, tetapi isi kandungan dan persoalan yang diangkat mesti mencerminkan identiti, nilai, dan inspirasi kita.

“Semua ini bergantung kepada bagaimana kita boleh menterjemahkan dana yang disediakan kepada produk (filem) yang berdaya saing selain melibatkan pelabur luar dan syarikat korporat dalam industri filem ini, dan bukan hanya bergantung pada pemain industri sedia ada. Hal ini penting sebagai usaha mengembangkan ekosistem dan memperkukuh industri filem kita,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan menyediakan RM160 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni dalam usaha menyokong bakat kreatif tempatan dan menggalakkan lebih banyak penghasilan karya seni tempatan.

Dalam pada itu, Mahadi menyifatkan penyediaan dana berjumlah RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Belanjawan 2025 sebagai satu langkah yang jelas daripada agensi itu dalam memberikan perhatian serius terhadap kandungan yang berasaskan nilai budaya.

“Aktiviti yang digerakkan mungkin termasuk adaptasi karya-karya asli yang boleh diterjemahkan menjadi kandungan tempatan yang bermakna dan bermanfaat… apabila sesebuah novel dipindahkan menjadi filem, novel itu seharusnya dijadikan sebagai sumber yang dijelmakan dalam bentuk filem dan ia mesti mengikut sifat, ciri, bahasa dan kaedah penceritaan sinema serta tidak terikat kepada naskhah asal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan