BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 EKONOMI > BERITA

USAHA KURANGKAN PERBEZAAN KADAR FAEDAH BERI IMPAK POSITIF UNTUK RINGGIT - GABENOR BNM

07/11/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Langkah pengurangan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan negara-negara maju adalah positif bagi ringgit, di tengah-tengah ketidaktentuan perkembangan geopolitik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata perubahan dasar monetari oleh bank-bank pusat global serta pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) baaru-baru ini telah memburukkan lagi ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.

“Sehubungan itu, kita sentiasa memantau rapat perkembangan global dan bersedia mengurus sebarang limpahan (kesannya) ke atas pasaran domestik, termasuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran pertukaran asing domestik.

“Bagaimanapun, apa yang pasti landskap domestik ini kekal di landasan kukuh, didorong oleh asas-asas dan prospek ekonomi yang kukuh,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran portal InvestMalaysia di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Rasheed berkata asas ekonomi yang kukuh dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai, telah mewujudkan persekitaran serba mantap bagi pertumbuhan, termasuk menyuntik sokongan terhadap ringgit.

Beliau berkata Malaysia juga telah dan masih terus mencatat prestasi pertumbuhan yang berdaya tahan, mencecah purata 4.3 peratus sejak 2011, malah secara relatifnya tinggi berbanding negara serantau dan rakan setaraf.

“BNM akan terus memainkan peranan dan melaksanakan apa yang perlu bagi memastikan kestabilan monetari serta kewangan dan persekitaran pasaran kewangan itu kondusif bagi membolehkan pelaburan mampaan serta kegiatan ekonomi dapat dijalankan.

“Di samping itu, sepertimana diperincikan dalam Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, pelbagai inisiatif diambil bagi menyokong transformasi ekonomi lebih meluas,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan