AM > BERITA

Program Kasih BIO Pupuk Minat STEM, Sokong Komuniti Orang Asli Dan Pelajar Asnaf

07/11/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dikenali Kasih BIO telah dilancarkan sempena Program STI 100³ - Sciensation BIO 2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, semalam.

Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dalam kenyataan memaklumkan menerusi program yang disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu, pihaknya memberikan sumbangan termasuk makanan asasi dan barang keperluan sekolah kepada 30 keluarga Orang Asli dari Sungai Rual, di samping sumbangan zakat kepada 50 pelajar asnaf daripada UMK.

Pada majlis sama, Bioeconomy Corporation turut menjalin kerjasama dengan UMK Kampus Jeli untuk melaksanakan Program STI 100³ - Sciensation BIO 2024 yang melibatkan penyertaan 130 murid daripada 11 sekolah di sekitar Kelantan.

“Kesemua murid itu telah mengambil bahagian dalam sembilan aktiviti pembelajaran interaktif yang dikendalikan oleh 10 saintis UMK untuk meningkatkan minat dan penghayatan mereka terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam bidang bioteknologi dan berasaskan bio,” menurut kenyataan itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei dalam kenyataan sama berkata program berkenaan membuktikan kerjasama erat antara pihak kerajaan, korporat dan institusi pendidikan tinggi dapat merealisasikan aspirasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat dalam pembangunan ekonomi dan sosial. 

“Program ini membina asas yang kukuh untuk melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi, sesuai dengan keperluan tenaga kerja dalam bidang STI pada masa hadapan. Rasa minat dan motivasi tinggi terhadap bidang STEM dalam kalangan anak-anak muda mestilah menghasilkan usaha dalam STI yang memberi manfaat besar kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Dengan cara ini, Malaysia boleh diiktiraf sebagai negara yang benar-benar maju di mata dunia,” kata beliau semasa majlis penyempurnaan program Kasih BIO sempena Program STI 100³ - Sciensation BIO 2024 di Perpustakaan UMK Kampus Jeli.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata program Kasih BIO dan program STI 100³ - Sciensation BIO 2024 mencerminkan dedikasi organisasi itu dalam bentuk pendidikan sains, teknologi dan inovasi yang bertujuan mengubah kehidupan dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

“Dengan sumbangan melalui program Kasih BIO dan aktiviti interaktif di bawah program STI 100³ - Sciensation BIO, kami berharap dapat memberikan sokongan yang bermakna kepada golongan memerlukan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bioteknologi dalam kehidupan seharian.

“Kami berharap dapat menggalakkan penglibatan lebih ramai pelajar dan belia dalam bidang ini. Program berasaskan bioteknologi seperti ini menjalin ikatan kasih sayang antara semua pihak seterusnya membentuk satu keluarga besar yang sentiasa membantu satu sama lain untuk mencapai usaha ‘bioekonomi untuk semua’,” katanya.

Program STI 100³ - Sciensation BIO 2024 adalah sebahagian daripada Program STI 100³ yang diterajui oleh MOSTI, selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggalakkan minat dalam bidang STEM dalam kalangan pelajar institusi pendidikan, khususnya di kawasan luar dan pinggir bandar.

Bioeconomy Corporation telah dilantik oleh MOSTI sebagai agensi Penyelaras dan Penggerak untuk menjayakan Program STI 100³ bagi menggalakkan penyertaan aktif 100 saintis tempatan daripada 100 sekolah dalam tempoh 100 hari. 

Bioeconomy Corporation berhasrat untuk memupuk minat terhadap STEM melalui penglibatan pelajar dalam pelbagai program interaktif, aktiviti luar bilik darjah, aplikasi dalam kehidupan seharian serta program dan latihan dalam kumpulan di bawah Program STI 100³ - Sciensation BIO 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan