KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu adalah satu kejayaan penting buat Malaysia kerana percubaan untuk memeras ugut rakyat negara ini telah gagal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata justeru itu, Malaysia kini akan memfokus kepada usaha untuk membatalkan award akhir yang diperoleh kumpulan berkenaan di Perancis secepat mungkin.
“Keputusan itu merupakan kemenangan penting buat Malaysia dalam strategi keseluruhannya untuk menghalang usaha penguatkuasaan award itu secara tidak sah di seluruh dunia oleh kumpulan yang membuat tuntutan (dan pembiaya mereka iaitu Therium) setakat ini.
“Usaha untuk memeras ugut rakyat Malaysia telah gagal dan Malaysia kini akan memfokus kepada usahanya di Perancis untuk mendapatkan pembatalan Award Akhir itu secepat mungkin,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Agung Perancis telah menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan itu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyifatkan ia sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
"Prosiding di Mahkamah Rayuan Paris akan diteruskan dalam masa terdekat untuk membatalkan Award Akhir yang dikeluarkan oleh Dr (Gonzalo) Stampa dan menyelesaikan isu itu secara muktamad dengan keputusan yang memihak kepada rakyat Malaysia," katanya.
Azalina menyambut baik keputusan bersejarah yang dibuat oleh Mahkamah Agung Perancis itu dan menyifatkan ia sebagai kejayaan amat bermakna bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian proses timbang tara antarabangsa sebagai satu alternatif dalam penyelesaian pertikaian.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha berterusan untuk menegakkan pendirian Malaysia.
Sebelum ini, lapan warga Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.
Pada 28 Feb 2022, Stampa telah membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak US$14.9 bilion hasil daripada timbang tara tidak sah meskipun pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.
Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan Award Akhir itu, kumpulan Sulu berkenaan telah dilaporkan cuba menyita aset syarikat minyak Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya).
Pada 17 Mei lepas, Malaysia telah dimaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan Madrid yang menolak rayuan Stampa dan mengekalkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya serta perintah yang melarang beliau bertindak sebagai penimbang tara selama setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial