AM > BERITA

BHEUU JPM Tubuh Jawatankuasa Kerja Perkukuh Sistem Keadilan Jenayah Negara

06/11/2024 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Undang-Undang bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) bagi terus memperkukuh sistem keadilan negara yang menyentuh isu jenayah siber dengan membabitkan kaedah moden.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata satu jawatankuasa khas antara kementerian dan agensi di bawah penyeliaan BHEUU JPM juga akan dibentuk bagi tujuan itu.

Ia antara lain untuk menyokong pembaharuan berterusan dalam perlindungan kanak-kanak, keadilan jenayah dan jenayah berkaitan siber seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Suka saya maklumkan baru-baru ini, saya telah mengadakan perjumpaan dengan Ghada Fathi Waly iaitu Ketua Pengarah merangkap Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna (UNOV) dan UNODC bersama dengan Ikram Mohammad Ibrahim iaitu Duta Besar Malaysia ke Republik Austria.

“Dalam perjumpaan ini, UNODC telah berkongsi mengenai cadangan Konvensyen Jenayah Siber Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pertama yang sedang dipertimbang oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata konvensyen baharu itu bertujuan menangani isu kritikal termasuk penderaan seksual kanak-kanak dalam talian, bahan penderaan seksual kanak-kanak dan penyebaran imej intim tanpa persetujuan.

Beliau berkata konvensyen itu dilihat sebagai langkah yang sangat penting dalam pencegahan dan penyiasatan jenayah siber serta bagi tujuan pendakwaan penjenayah siber.

Malah dalam usaha merealisasikan cadangan itu, Azalina berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penubuhan Pasukan Reformasi Perundangan dalam ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas sebagai antara komitmen berterusan kerajaan bagi memperkasa pembaharuan undang-undang dan akta lapuk di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan