AM > BERITA

Malaysia Anjur Mesyuarat ATM, STOM Minggu Depan

15/11/2024 03:11 PM

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) ke-58 di Kuala Lumpur pada 18 hingga 22 Nov ini.

MOT dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat berkenaan akan menghimpunkan pemimpin pengangkutan ASEAN, pembuat dasar dan pakar industri dalam perbincangan peringkat tinggi bagi memajukan keterhubungan serantau dan global serta memelihara kemakmuran ekonomi.

“Mesyuarat ATM, sebagai badan pengangkutan ASEAN tertinggi, akan menetapkan hala tuju dasar dalam sektor pengangkutan dan membincangkan isu kepentingan bersama. STOM, sebagai badan eksekutif, akan menyelia, menyelaras dan menyemak program dan hala tuju yang ditetapkan Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN,” menurut kenyataan itu. 

MOT memberitahu mesyuarat berkenaan merupakan kemuncak usaha daripada pelbagai kumpulan kerja, iaitu Kumpulan Kerja Pengangkutan Udara ASEAN, Kumpulan Kerja Pengangkutan Darat ASEAN, Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN dan Kumpulan Kerja Kemudahan Pengangkutan ASEAN, ejen pelaksana sektor pengangkutan dalam pelbagai bidang seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Strategik Pengangkutan ASEAN 2016-2025.

Menurut MOT, Mesyuarat ATM dan STOM 2024 ialah permulaan penting bagi kepengerusian ASEAN pada 2025.

“Sebagai pengerusi, Malaysia tegas dalam memberi panduan kepada sektor pengangkutan ASEAN ke arah meningkatkan keterhubungan, antara perdagangan dan pelaburan. Malaysia komited memastikan keterangkuman dan kemampanan sebagai teras kepada usaha pembinaan komuniti serantau,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan