EKONOMI > BERITA

KERAJAAN SELANGOR BENTANG BELANJAWAN 2025 BERJUMLAH RM3 BILION

15/11/2024 05:39 PM

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM3 bilion untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.3 bilion (43.3 peratus) bagi tujuan pembangunan. 

Beliau berkata peruntukan mengurus, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan menjadi komponen terbesar yang mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Perbelanjaan mengurus ini termasuk pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang masing-masing melibatkan 26 jabatan, elaun majlis pengurusan komuniti kampung, peruntukan bagi elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu Dewan Negeri Selangor, di sini.

Memperincikan selanjutnya, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2025 meningkat RM100 juta atau 8.3 peratus berbanding 2024 dengan tumpuan kepada sektor infrastruktur berbanding sosial. 

Peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 peratus dari peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta, antara lainnya bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal lebih efisien, menaik taraf jalan raya dan saliran bagi mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

"Walaupun sektor sosial bukan lagi tumpuan utama, peruntukan bagi tujuan pembangunan sosial berjumlah RM354.08 juta atau 27.24 peratus, kekal sebagai antara agenda pembangunan utama kerajaan negeri. 

"Penekanan kepada program kesihatan dan kebajikan warga emas masih diteruskan, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat," katanya.

Amirudin turut menzahirkan komitmen pentadbirannya untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat dengan memperuntukkan RM380.7 juta atau 29.29 peratus bagi pembangunan sektor ekonomi.

Peruntukan selebihnya menumpukan bidang tumpuan utama meliputi sektor pendidikan berjumlah RM96.4 juta iaitu 7.42 peratus, katanya.

“Sektor kesihatan berjumlah RM40 juta atau 3.08 peratus dari keseluruhan peruntukan pembangunan dan baki RM24.5 juta atau 1.88 peratus bagi pembangunan luar bandar,” katanya. 

Bertemakan 'Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani', belanjawan itu akan digerakkan melalui lima teras utama iaitu Kecerdasan Buatan dan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa serta Membugar Ekonomi, Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan