AM > BERITA

Belanjawan 2025: Selangor Peruntuk RM34.27 Juta Urus Projek Tebatan Banjir

15/11/2024 06:45 PM

SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM34.27 juta menerusi Belanjawan Selangor 2025 bagi memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan projek tebatan banjir. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara lembangan sungai yang terlibat ialah Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM18.7 juta, Sungai Langat (RM9.3 juta) dan Sungai Selangor (RM3.2 juta). 

Selain itu, Lembangan Sungai Buloh (RM1 juta) dan beberapa lembangan lain termasuk di Sungai Bernam dan Sungai Kapar Besar turut diberi perhatian dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

"Semua projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutama di Lembangan Sungai Klang kerana pembangunan sangat pesat di lembangan tersebut.

“Keadaan itu mengakibatkan jumlah air larian yang sangat tinggi menyebabkan berlakunya banjir kilat ataupun banjir monsun," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Amirudin berkata projek tebatan banjir itu akan dilaksanakan secara sinergi bersama projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai keberkesanan lebih menyeluruh dalam menangani isu banjir di Selangor.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2.07 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPNS) bagi tujuan pembangunan sistem saliran bersepadu dan komprehensif. 

Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan untuk meningkatkan dan menambah baik sistem saliran sedia ada di kawasan telah dikenal pasti bagi memastikan saliran dalaman dapat menampung jumlah hujan dan air larian yang tinggi.

"Di samping itu, pembangunan pesat yang berlaku di kawasan sekitar juga akan mendapat kesan daripada sistem saliran berkualiti dan sempurna ini," katanya. 

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi menaik taraf benteng di kawasan pesisir pantai yang terjejas akibat fenomena air pasang besar yang melanda Selangor baru-baru ini terutamanya di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. 

Mengenai pengurusan sumber air di Selangor, Amirudin berkata Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 2 akan dibina dengan kapasiti tambahan 700 juta liter sehari yang bakal membekalkan air ke Wilayah Petaling dan Kuala Langat, serta memanfaatkan 2.15 juta pengguna.

"Projek Peringkat 2 ini dijangka mengambil masa selama 36 bulan, bermula dari 2025 hingga 2028, dengan anggaran kos sebanyak RM2.12 bilion," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan