EKONOMI > BERITA

SABAH CATAT IMBANGAN DAGANGAN RM9.6 BILION BAGI TEMPOH TUJUH BULAN PERTAMA 2024 - MASIDI

15/11/2024 09:01 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Sabah mencatatkan imbangan dagangan berjumlah RM9.6 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding RM11.5 bilion pada tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata penguncupan imbangan dagangan sebanyak 16.5 peratus itu adalah kesan daripada peningkatan import Sabah sebanyak 18.2 peratus, lebih tinggi berbanding pertumbuhan eksport negeri 6.8 peratus.

Menurutnya, peningkatan eksport disumbangkan oleh komoditi utama khususnya petroleum mentah dan minyak kelapa sawit manakala kenaikan import disumbang oleh barangan utama seperti jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan dan pelbagai barang keluaran kilang.

“Pada suku kedua 2024, kadar pengangguran di Sabah direkodkan meningkat kepada 8.0 peratus berbanding 7.5 peratus dalam tempoh sama pada 2023. Sebaliknya, kadar penyertaan tenaga buruh di Sabah pula direkodkan meningkat kepada 71.4 peratus berbanding 70.8 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.

“Ini menunjukkan terdapat lebih ramai individu dalam pasaran buruh berbanding jumlah peluang pekerjaan tersedia. Justeru, Kerajaan Sabah akan terus memperhebat usaha menarik lebih banyak pelaburan bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 bertemakan “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera” di Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Setakat Julai tahun ini, katanya, inflasi Sabah direkodkan pada kadar 1.4 peratus, lebih rendah sedikit berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.8 peratus, sekali gus menunjukkan inflasi negeri yang semakin stabil itu adalah hasil usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam mengawal harga barangan secara menyeluruh.

Masidi berkata inisiatif ini turut disokong oleh kerajaan negeri Sabah melalui pengukuhan rantaian bekalan dengan memastikan bekalan domestik sentiasa mencukupi dan pada harga berpatutan.

“Penggunaan swasta yang sederhana dijangka terus berkembang dan menyumbang kepada aliran wang yang aktif dalam pasaran. Trend ekonomi positif akan meningkatkan keyakinan pelabur serta menggalakkan lebih banyak aktiviti perniagaan seterusnya merangsang dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri.

“Walaupun ekonomi Sabah sedang berada di fasa pemulihan, adalah penting bagi kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar fiskal yang berhemat dan mengamalkan disiplin kewangan tinggi,” katanya.

Masidi berkata fokus utama perlu diberi kepada usaha membina daya tahan ekonomi melalui pelaburan bijak serta memperkukuh dasar dalaman yang mampu meningkatkan produktiviti dan mempromosi pembangunan mampan dalam sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan tenaga hijau. 

Menurutnya, setakat Jun tahun ini, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM1.7 bilion dari dalam dan luar negara menerusi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan.

Seperti sedia maklum, beliau berkata Sabah menerima pelaburan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China dengan nilai pelaburan masing-masing berjumlah RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion

Masidi berkata kedua-dua pelabur itu telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada hujung tahun 2023 bagi Syarikat SK Nexilis dan Kumpulan Kibing awal tahun ini.

Katanya, pada tahun ini juga Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd bersetuju untuk melabur dalam kilang pembuatan kaca solar baharu dengan anggaran nilai pelaburan RM7.2 bilion melalui tiga fasa pelaburan sekali gus bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada 5,000 rakyat Sabah.

“Pada masa sama, syarikat Kumpulan Kibing juga komited meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dengan penambahan barisan pengeluaran ketiga. Anggaran nilai pelaburan tambahan adalah RM700 juta sekali gus mewujudkan 600 tambahan peluang pekerjaan,” katanya.

Mengulas prestasi dan prospek ekonomi Sabah, Masidi berkata, secara keseluruhan momentum pertumbuhan ekonomi negeri dijangka berterusan bagi tahun 2024 dan 2025.

Dengan mengambil kira tren semasa ekonomi, kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun 2024 diunjur semula kepada sekitar dua peratus, manakala kadar unjuran pertumbuhan KDNK untuk tahun depan dijangka meningkat kepada sekitar 2.5 peratus, katanya.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan