AM > BERITA

MAINJ Dijangka Keluar Fatwa GISBH Dalam Tempoh Sebulan - Exco

16/11/2024 04:22 PM

BATU PAHAT, 16 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dijangka mengeluarkan fatwa berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam tempoh kira-kira sebulan setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata fatwa itu susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan menyeleweng.

Beliau berkata MAINJ melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti sedang meneliti keputusan MKI dengan melakukan proses semakan fatwa untuk pihaknya mendapat panduan yang jelas bagi diguna pakai kerajaan negeri.

“Sudah tentu kita akan ikut panduan MKI, dan Johor juga antara negeri yang belum buat fatwa GISBH dengan tempoh sekurang-kurangnya sebulan diperlukan untuk melakukan proses itu dengan baik,” katanya kepada pemberita pada program MAINJ Bersama Orang Muda “MAINJ Kan Ada” di Semerah di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadut berkata ajaran, pegangan dan fahaman GISBH diputuskan sesat dan menyeleweng daripada Islam pada mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24-26 Sept lepas setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah serta fakta dikemukakan penyelidik.

Sementara itu, ketika diminta mengulas langkah bagi mengelakkan kejadian imam tertinggal rukun khutbah seperti yang berlaku di Rembau 8 Nov lepas, Mohd Fared berkata Johor memiliki kaedah sangat ketat  kerana ia melibatkan syarat sah solat Jumaat dengan khutbah yang disediakan JAINJ sahaja boleh dibaca di negeri ini.

“Penggerak masjid dan surau juga dilantik untuk melaporkan kepada pihak berkuasa agama negeri sekiranya khatib tersilap membaca khutbah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan