KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Pengeluaran minyak dan gas di Semenanjung Malaysia kini semakin berkurangan, namun penemuan baharu sumber berkenaan kini banyak terdapat di negeri Sabah dan Sarawak, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata sumber berkenaan sebelum ini memberi kelebihan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan agihan pendapatan, namun ia kini banyak terdapat di kedua-dua negeri tersebut.
"Di sebelah semenanjung, kita memang semakin kehabisan sumber minyak dan gas kira-kira 10 tahun lepas, dengan jumlah pengeluaran minyak kita ialah 700,000 tong sehari sebelum ini, dan sekarang dalam 350,000 tong sehari.
"Negara perlu melalui proses peralihan tenaga dengan segera dan dalam konteks itu kita kena ambil kira beberapa dasar yang perlu dilaksanakan kerajaan, termasuklah penyasaran semula subsidi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Rafizi berkata sumber minyak dan gas yang terdapat di Sabah dan Sarawak itu pula digunakan bagi memenuhi tuntutan dan penggunaannya di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata ada juga usaha untuk dipertimbangkan kembali cara pengagihan pendapatan sumber Sabah dan Sarawak ini.
"Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli," katanya.
Beliau berkata kekurangan sumber minyak dan gas di Semenanjung Malaysia menjadi cabaran besar kepada kerajaan dalam soal mengagihkan dan menentukan peruntukan ke negeri-negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial