AM > BERITA

3,967 Kes Rawatan Transplan Sel Telah Dilaksanakan Di Empat Hospital KKM

18/11/2024 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Sejumlah 3,967 kes rawatan Transplan Sel/Sumsum Tulang (SCT/BMT) telah dilaksanakan di empat hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 25 tahun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata Hospital Ampang selaku peneraju utama telah mengendalikan 3,259 kes SCT/BMT dengan purata hampir 200 kes setiap tahun.

“Hospital Pulau Pinang telah mengendalikan 384 kes, manakala Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor (260 kes) dan Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah (64 kes),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan SCT/BMT KKM di Hospital Ampang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Hospital Umum Sarawak di Kuching dijangka memulakan perkhidmatan berkenaan pada Mac tahun hadapan sebagai hospital kelima yang menawarkan SCT/BMT, diikuti Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang yang akan dibangunkan sebagai pusat SCT/BMT.

“Hospital Umum Sarawak akan dimulakan selewatnya suku pertama tahun depan atau Mac 2025. Kita ada empat atau lima pakar di situ bersekali dengan jururawat yang mempunyai kepakaran latihan asas menyeluruh dalam hematologi,” katanya.

Dzulkefly berkata pihaknya menganggarkan harga pasaran bagi rawatan itu kini mencecah RM120,000 ke RM300,000, namun KKM telah menetapkan kos rawatan perlu kekal rendah dengan jumlah RM20,000 hingga RM80,000.

“Pesakit biasa dikenakan caj RM500, manakala warga emas hanya RM250 bergantung kepada kompleks pesakit tersebut. Itu adalah komitmen kemampanan dan penjagaan kesihatan yang sama rata, supaya semua orang dapat capaian kepada prosedur SCT/BMT ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KKM juga akan meningkatkan bilangan Pakar Hematologi terlatih di seluruh Malaysia kepada 50 orang untuk tahun hadapan.

“Yang mampu membuat rawatan Transplan Sel ini lebih kurang 10 orang. Di Hospital Ampang sahaja kita ada empat pakar dan yang lain di Hospital Pulau Pinang serta Hospital Sultanah Aminah,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan