AM > BERITA

Program 2TM: Kaunter Perkhidmatan Bayar Saman, Tukar Helmet Baharu Ditambah

21/11/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kaunter beberapa perkhidmatan popular seperti saman trafik dan tukar topi keledar baharu akan ditambah pada program Dua Tahun MADANI (2TM) berlangsung tiga hari bermula esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berbanding program MADANI Rakyat sebelum ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri Sapian Mamat berkata jumlah petugas keselamatan juga akan ditingkatkan bagi memastikan keselesaan pengunjung.

"Berdasarkan pengalaman lepas kaunter saman dan pertukaran helmet antara yang menjadi tumpuan jadi tidak mencukupi, jadi pihak berkaitan ambil inisiatif tambah jumlah kaunter. 

"Dari aspek keselamatan, kita bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan jumlah petugas termasuk anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu bagi kawalan orang ramai (crowd control) dan juga aliran trafik mencukupi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi program.

Program 2TM dianjurkan Pejabat Perdana Menteri menerusi PACU bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bermula esok hingga Ahad ini berserta Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad. 

Sapian berkata semua persiapan termasuk penyediaan reruai pameran telah dilakukan sepenuhnya menjelang program esok.

"Kita bersedia sepenuhnya untuk membuka pintu kepada 200,000 pengunjung yang dijangka hadir sepanjang tiga hari program ini berlangsung, jadi kita minta orang ramai untuk datang menyertai kami di program ini," katanya. 

Beliau menyeru orang ramai yang hadir bukan sekadar berkunjung untuk melihat atau mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, tetapi turut memberi maklum balas terutamanya bagi perkhidmatan awam di kaunter agensi, jabatan atau kementerian kerajaan. 

Tinjauan Bernama mendapati lebih 30 reruai pempamer telah siap didirikan petang ini. 

Selain pameran, pelbagai aktiviti seperti reruai usahawan serta Jualan MADANI, selain tawaran diskaun 60 peratus bayaran saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia, karnival kerjaya serta diskaun tiket kemasukan ke Muzium Negara turut diadakan.

Program 2TM bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat Kerajaan MADANI yang berpaksikan kepentingan rakyat, selain memahami usaha dan inisiatif kerajaan serta langkah reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat.

Perasmian program akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan