AM > BERITA

RM87.03 Juta Nilai Rampasan Direkodkan Dalam Op Tiris 3.0 - Armizan

25/11/2024 02:44 PM

ALOR GAJAH, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM87.03 juta nilai rampasan direkodkan menerusi Op Tiris 3.0 yang dilaksanakan bermula 1 Jan hingga 22 Nov lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata 39,069 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara melibatkan 2,521 kes dan tangkapan terhadap 604 individu termasuk warga asing.

"...manakala untuk Op Kesan pula, bermula 1 Jan hingga 23 Sept 2024, KPDN melaksanakan 50,725 pemeriksaan premis dan menerima 106 aduan awam di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam.

Sebanyak 284 pegawai terdiri daripada 244 pegawai lantikan baharu dan 40 pegawai kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL) dan pegawai sedang berkhidmat (PSB) berjaya menamatkan kursus kali ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN merangka strategi 'omnipresence' atau meningkatkan keberadaan jentera penguat kuasa di lapangan bermula Januari depan bagi memperkasakan aspek kawalan dan pemantauan termasuk melaksanakan tindakan susulan terhadap setiap aduan dan laporan.

Beliau berkata strategi itu dirangka selaras dengan pelaksanaan gerakan KITA GEMPUR yang menggembleng peranan empat komponen pemegang taruh iaitu agensi kerajaan (K), pemain industri (I), pematuhan tatakelola (T) dan partisipasi awam (A) dalam Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR).

Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN berdepan cabaran liputan kawasan kawal selia terlalu luas dan isu logistik selain jumlah kepadatan penduduk serta jumlah premis perniagaan yang tinggi.

Beliau berkata sebagai contoh, KPDN cawangan Kapit mempunyai kawasan seliaan terbesar iaitu 38,934 kilometer (km) persegi yang meliputi dua kawasan Parlimen dan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala KPDN cawangan Johor Bharu mempunyai kepadatan penduduk dan premis perniagaan tinggi membabitkan enam kawasan Parlimen dan 13 DUN.

"Setakat ini kita mempunyai 75 pejabat KPDN membabitkan pejabat negeri cawangan dan subpejabat cawangan berbanding 162 pentadbiran daerah...ia bermaksud kita masih tidak berupaya untuk menempatkan (pegawai dan anggota) mengikut pentadbiran daerah disebabkan kekangan jumlah penguat kuasa yang kita ada," katanya.

Tambahnya meskipun wujud cabaran tersebut, kementerian itu sentiasa komited memenuhi tanggungjawab diamanahkan bagi mewujudkan perdagangan dalam negeri yang sihat, melindungi kepentingan pengguna dan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan sasar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan