EKONOMI > BERITA

CBH ENGINEERING METERAI PERJANJIAN PENGUNDERAITAN DENGAN MERCURY SECURITIES UNTUK IPO

25/11/2024 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- CBH Engineering Holding Bhd, penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) menandatangani perjanjian pengunderaitan dengan Mercury Securities Sdn Bhd untuk cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat berkenaan berkata IPO itu melibatkan 486.1 juta saham biasa, yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 298.0 juta saham dan tawaran untuk jualan sebanyak 188.1 juta saham.

Tawaran itu masing-masing mewakili 15.8 peratus dan 10.0 peratus daripada modal saham terbitan CBH yang diperbesarkan sebanyak 1.88 bilion saham semasa penyenaraian.

Daripada saham IPO, CBH berkata 94.0 juta saham terbitan akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian dan 28.4 juta saham akan dikhaskan untuk para pengarah, pekerja dan penyumbang yang layak terhadap kejayaan kumpulan melalui peruntukan borang merah jambu.

"Selain itu, sebanyak 128.5 juta saham terbitan akan ditawarkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur-pelabur terpilih.

"Baki 47.0 juta saham dan 188.1 juta saham tawaran akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur-pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), katanya.

Mercury Securities akan menaja jamin 122.5 juta saham terbitan, meliputi peruntukan untuk orang awam Malaysia dan penerima borang merah jambu.

CBH, melalui anak syarikatnya menyediakan perkhidmatan kejuruteraan elektrik untuk sistem pengagihan elektrik dan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal bagi sistem bangunan termasuk pendingin hawa, perlindungan kebakaran, paip dan sistem tenaga boleh baharu.

Pengarah Urusan Cheah Boon Hwa berkata pengalaman 33 tahun kumpulan itu dalam industri kejuruteraan M&E telah membolehkan syarikat berjaya menyampaikan projek yang pelbagai saiz dan kerumitan yang berbeza-beza, menjadikan dirinya sebagai kontraktor yang kos efektif dan boleh dipercayai.

Antara projek terkenal kumpulan yang telah disiapkan ialah reka bentuk dan binaan pencawang untuk pusat data di Taman Teknologi Sedenak di Johor dan projek pencawang dan pengedaran di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China di Pahang.

"Pusat data ialah pemangkin penting infrastruktur digital. Malaysia muncul sebagai hab untuk kemudahan ini, didorong oleh peningkatan penggunaan data, perkhidmatan internet dan penerimaan awan yang dipacu oleh 5G dan pengkomputeran awan.

"Ini ditambah lagi dengan kehadiran gergasi teknologi tempatan dan global seperti Microsoft, Google, Amazon dan Telekom Malaysia yang membuat pelaburan besar untuk membangunkan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan awan di negara ini," katanya.

Cheah juga berkata pelaburan asing dan domestik telah memacu pembangunan hartanah komersial dan perindustrian di samping infrastruktur sokongan yang mewujudkan lebih banyak peluang untuk penyedia perkhidmatan kejuruteraan M&E seperti CBH.

CBH bakal disenaraikan pada Januari 2025, dengan Mercury Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan