ARAU, 25 Nov (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini bertitah mengingatkan wakil rakyat di negeri itu untuk bekerja demi kepentingan rakyat, supaya setiap rakyat di Perlis dapat menikmati manfaat yang diperoleh negeri.
“Letakkan rakyat itu lebih penting daripada kita (wakil rakyat), utamakan rakyat lebih (berbanding) pada kita, kalau kita dahulukan kita sendiri itu bukan wakil rakyat, itu kita wakil kita sendiri.
“Saya nak setiap wakil rakyat dan pemimpin di negeri ini bekerja untuk kepentingan rakyat supaya setiap rakyat dapat manfaat,” titah baginda sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis di Istana Arau, di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah mengharapkan EXCO Perlis mengambil peluang semasa tugasan rasmi ataupun tidak rasmi di Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan pegawai atasan di sana, bagi menyelesaikan sesuatu isu dihadapi negeri itu mengikut portfolio masing-masing.
“Saya harap EXCO ambil berat portfolio masing-masing. Kalau tidak faham tentang tugas atau portfolio boleh jumpa dengan orang yang lebih tahu, setiausaha kerajaan negeri boleh bantu,” titah baginda.
Raja Perlis turut menzahirkan kebimbangan apabila merasakan meskipun kemajuan negeri itu berada pada landasan ke hadapan, namun ia agak perlahan berbanding negeri lain maka pentadbiran kerajaan negeri perlu memberikan perhatian kepada hal itu.
Baginda bertitah sepatutnya Perlis sebagai sebuah negeri kecil lebih mudah untuk ditadbir, sekali gus akan cepat membangun berbanding negeri lain.
“Sebenarnya kita negeri kecil boleh bergerak lebih lancar, lebih laju daripada negeri lain. Nak mentadbir negeri besar susah tetapi mentadbir negeri kecil lebih senang...inilah pesanan saya, saya cukup rasa bimbang takut kita biar saja, kita akan ketinggalan ke belakang lagi,” titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial