IPOH, 26 Nov (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan pejabat baharu Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Cawangan Ipoh di sini sebagai pusat kecemerlangan pembangunan pendidikan koperasi di Perak.
Ewon berkata pusat kecemerlangan itu menawarkan pelbagai program latihan termasuk pengurusan kewangan, keusahawanan dan pendigitalan serta memperkasakan 1,734 koperasi berdaftar di negeri itu menerusi khidmat bimbingan dan program.
“Selain itu, IKMa juga menawarkan lebih 80 modul kursus dan tahun ini kita akan melaksanakan lebih 700 kursus di seluruh negara. Pada tahun hadapan, kita menyasarkan untuk melaksanakan sebanyak 830 kursus di seluruh negara.
“Saya amat yakin dengan adanya pejabat baharu di Perak, ini dapat membantu menggerakkan lagi pencapaian dan sumbangan gerakan koperasi Perak kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) dan ekonomi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pejabat IKMa Cawangan Ipoh dan melancarkan Tabung Pendidikan Islamic Socioeconomic Development Foundation-Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (ISDEF-UKKM) di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia Datuk Dr Rosli Mat Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa Mohd Zaib Mat Yunus dan Ketua IKMa Cawangan Ipoh Nur Faeza Yahya.
Ewon berkata pejabat IKMa cawangan Ipoh itu beroperasi sejak 2023 dan kejayaannya telah dibuktikan menerusi pencapaian meletakkan 11 koperasi dari Perak dalam kelompok 100 koperasi terbaik seluruh negara.
“Saya percaya itu merupakan satu manifestasi daripada peranan yang dibuat oleh IKMa di Perak serta peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Perak dan juga semangat kerjasama serta peranan daripada gerakan koperasi itu sendiri.
“Di peringkat kementerian, kita akan terus mengadakan pelbagai libat urus kerjasama dan inisiatif untuk membangunkan gerakan koperasi ini. Kita juga mengalu-alukan inisiatif pelbagai pihak yang bekerjasama dengan institusi koperasi,” katanya.
Ewon berkata sepanjang tahun lepas, IKMa Cawangan Ipoh telah melaksanakan sejumlah 25 program manakala pada tahun ini sebanyak 35 program.
Sehubungan itu, IKMa cawangan Ipoh telah menyusun beberapa program latihan dan bimbingan bersasar bagi tahun depan bagi memacu kecemerlangan gerakan koperasi di Perak, khususnya dalam membantu koperasi menambah baik bidang asas pengurusan, tadbir urus koperasi dan program berkaitan pendigitalan.
Antara program yang akan dilaksanakan pada 2025 ialah program Jom@Coop, Tunas-Kop, INPAK, C.O.D.E dan program kolaborasi antara IKMa Cawangan Ipoh bersama kerajaan Perak dan pusat pengajian tinggi.
IKMa Ipoh juga aktif merancang kolaborasi strategik termasuk bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi program graduan berkoperasi.
Dalam pada itu, Ewon turut melancarkan Tabung Pendidikan ISDEF-UKKM bagi membantu pelajar daripada keluarga golongan B40 yang layak meneruskan pengajian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial