AM > BERITA

Jawatankuasa Khas Tangani Masalah Banjir Secara Komprehensif

26/11/2024 09:04 PM

MELAKA, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan sebelum ini, akan turun padang ke setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenal pasti sering dilanda banjir, bagi mengerakkan usaha lebih komprehensif dalam menangani bencana berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata jawatankuasa khas itu, membabitkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Empat jabatan dan agensi ini bertanggungjawab terhadap saliran, penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan. Jawatankuasa khas itu juga akan mengemas kini data dan maklumat lebih terperinci mengenai bencana banjir di dalam DUN berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah Suntikan Semangat Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) DUN Paya Rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rais berkata setakat ini, jawatankuasa khas itu telah mengadakan sesi lawatan ke empat kawasan dikenal pasti kerap berlaku banjir iaitu Rim, Kesidang, Paya Rumput dan Durian Tunggal.

“Seperti di Durian Tunggal semalam, kita memperhalusi apakah tindakan yang perlu diambil dengan segera termasuk jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini. Selepas ini kita akan teruskan usaha dengan melawat kawasan dikenal pasti kerap berlaku banjir di Parlimen Hang Tuah Jaya,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata sebanyak RM21,000 peruntukan disalurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Paya Rumput kepada empat sekolah dalam DUN berkenaan, bagi program kecemerlangan pendidikan anak-anak di kawasan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan