AM > BERITA

Banjir: Keselamatan Sempadan Negara Di Tahap Tertinggi - Ahmad Zahid

28/11/2024 04:15 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Keselamatan sempadan negara berada pada tahap tertinggi walaupun beberapa negeri sedang dilanda banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata kawalan di sempadan tetap berjalan seperti biasa membabitkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dari segi kawalan itu tetap berjalan sebab kita ada anggota Rejimen Sempadan, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terus mengadakan kawalan di sempadan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di sini hari ini.

Terdahulu, Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata lima daripada 13 pos statik PGA dalam penugasan Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, Sungai Golok telah ditutup akibat terjejas banjir.

Beliau berkata kelima-lima pos berkenaan ditutup kerana dinaiki air hingga paras lantai dan mengancam keselamatan anggota PGA yang bertugas.

Mengenai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir, Ahmad Zahid berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagai membantu kesemua calon terlibat.

“Saya juga minta mangsa banjir untuk memantau anak-anak sewaktu musim banjir ini,” katanya. 

Peperiksaan SPM 2024 dijadual pada 2 Dis hingga 6 Februari 2025.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 3.15 petang, sebanyak  49,017 mangsa daripada 14,901 keluarga ditempatkan di 400 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri terjejas. 

Enam negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Perlis dan Kedah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan