SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) hari ini melancarkan rangkaian Trak Tugas Berat versi terbaharu yang dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan penjimatan minyak untuk menghasilkan emisi karbon lebih rendah.
Pengarah Urusan Volvo Trucks Asia Tenggara dan Jepun Anna Engblom berkata pelancaran rangkaian trak tugas berat itu sebagai menyokong usaha syarikat-syarikat meningkatkan produktiviti dan keselamatan bagi pemandu dan pengguna jalan raya.
“Keselamatan, Kualiti, dan Kelestarian atau penjagaan alam sekitar adalah nilai-nilai teras kami di Volvo Trucks.
“Kami bertekad untuk menyediakan penyelesaian yang meningkatkan keselamatan bagi para pemandu dan juga pengendali trak yang meliputi seluruh industri pengangkutan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Duta Besar Sweden ke Malaysia Niklas Wiberg hadir pada majlis pelancaran rangkaian Trak Tugas Berat versi terbaharu yang dipertingkatkan itu.
Anna berkata rangkaian trak tugas berat itu menampilkan reka bentuk aerodinamik dinaik taraf, sistem pacuan ditambah baik, persekitaran pemandu lebih selesa dan sistem keselamatan pintar bagi model trak Volvo FH, FM, dan FMX.
“Ciri-ciri penting trak baharu ini termasuk kelebihan aerodinamik kabin Globetrotter yang menghasilkan kecekapan guna bahan api lebih efisien sehingga sembilan peratus.
“Volvo Trucks menjadikan ciri Amaran Perlanggaran Hadapan dengan sistem brek kecemasan automatik satu ciri piawai dalam rangkaian trak tugas berat dikemas kini baharu di samping direka untuk memastikan brek parkir treler berfungsi apabila diaktifkan,” katanya.
Anna memaklumkan fungsi Kawalan Halaju dengan I-See ialah satu ciri penting menggabungkan teknologi kawalan halaju pintar untuk mengoptimumkan kelajuan dan pertukaran gear mengikut topografi, lantas meningkatkan kecekapan penggunaan minyak.
Sebagai pelopor terkemuka dalam bidang keselamatan, Anna berkata jenama ini kini sedang mentakrifkan semula keselamatan bagi industri pengangkutan trak dengan ciri-ciri seperti Pengemudian Stereng Dinamik Volvo (VDS) yang menstabilkan kenderaan dalam pelbagai keadaan dan Sistem Pemantauan Kamera (CMS), disediakan sebagai pilihan dalam rangkaian trak versi terbaharu dipertingkatkan Volvo.
“Sistem CMS dilengkapi dengan fungsi inframerah malam, memberikan tahap penglihatan lebih baik di sekeliling trak dan mengurangkan titik buta.
“CMS yang akan disediakan pada suku kedua 2025 adalah satu lagi ciri yang boleh menjimatkan minyak, pada masa sama meningkatkan tahap keselamatan.
Beliau berkata Volvo Trucks baru-baru ini mencapai mercu jaya penting dalam keselamatan global apabila diiktiraf dengan penarafan tertinggi lima bintang daripada organisasi ujian pengguna Eropah, Euro NCAP, bagi model FH dan FM.
“Inilah kali pertama Euro NCAP menilai keselamatan trak tugas berat. Pencapaian ini sesungguhnya mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemimpin dalam bidang keselamatan yang merupakan asas keyakinan para pelanggan kami,” katanya.
Selain itu, dalam menyokong usaha syarikat perniagaan untuk memenuhi komitmen kelestarian sejajar dengan matlamat alam sekitar Malaysia, trak tugas berat dikemas kini itu direka cipta untuk memenuhi piawaian emisi Euro 5.
“Piawaian ini menyokong syarikat yang ingin maju kehadapan dalam usaha memenuhi komitmen kelestarian untuk mengurangkan tahap emisi demi kualiti udara lebih baik.
“Peralihan daripada kumpulan trak yang sedia ada akan menyokong usaha Malaysia menggerakkan prestasi amalan alam sekitar lestari dalam sektor pengangkutan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial