AM > BERITA

Jalan Gua Musang-Jeli Di KM 35 Ditutup Susulan Tanah Mendap - Polis

30/11/2024 09:43 AM

GUA MUSANG, 30 Nov (Bernama) -- Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlaku mendapan tanah sepanjang 15 meter, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata jalan terbabit kelihatan melengkung dan semakin menurun justeru terpaksa ditutup kerana bimbang berlaku pergerakan air bawah tanah. 

Beliau berkata kejadian berkenaan berlaku berkemungkinan faktor cuaca kerana hujan berterusan sejak petang semalam. 

“Pemantauan dan penilaian dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada malam tadi dan jalan ditutup untuk semua kenderaan. 

"Kami risau ada pergerakan air bawah tanah dan sedang menunggu penilaian oleh pihak JKR sama ada jalan itu selamat digunakan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sik berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Jelawang-Sungai Sam untuk ke Gua Musang. 

“Berdasarkan laporan daripada JKR daerah, mendapan tanah telah dikesan seawal 10 pagi semalam namun jalan masih boleh dilalui dan dibuka kepada semua kenderaan.

"Pihak terbabit telah membuat tindakan awal dengan meletakkan kon penghalang dan papan tanda sebagai peringatan tanah runtuh untuk makluman kepada pengguna jalan raya,” katanya. 

Beliau berkata anggota penyelamat dan JKR akan melakukan pemantauan secara berterusan untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan