TANJONG MALIM, 1 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan unit kecemasan 24 Jam Klinik Kesihatan Tanjong Malim di sini yang sebelum ini diberhentikan akan kembali beroperasi dalam masa terdekat, kata Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang.
Chang berkata melalui perbincangan pihaknya dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersetuju satu pasukan unit kecemasan berserta pegawai perubatan, pemandu dan jentera ambulans dari Hospital Slim River ditempatkan di klinik itu.
“Ini bertujuan memudahkan urusan perkhidmatan kecemasan kesihatan penduduk setempat khususnya di luar waktu bekerja.
“Dengan adanya institut pengajian tinggi ditambah pula Bandar Proton dan Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), pengoperasian unit kecemasan amat diperlukan dan perkhidmatan ini akan beroperasi seperti sebelum ini (24 jam),” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Deepavali Parlimen Tanjong Malim di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik Tanjong Malim di sini hari ini.
Sebelum ini, pemberhentian operasi perkhidmatan kecemasan 24 jam di klinik itu mendapat reaksi kurang menyenangkan penduduk yang mahukan perkhidmatan itu dikembalikan kerana jarak hospital Slim River yang jauh dari kawasan berkenaan.
Pada 21 Nov lepas, Dr Dzulkefly memutuskan operasi kecemasan 24 jam di Klinik Kesihatan Tanjong Malim tidak dikembalikan berikutan bercanggah dengan polisi serta fungsi sedia ada kemudahan terbabit.
Sementara itu, Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menasihatkan penduduk sekitar Tanjong Malim supaya tidak terlalu bergantung kepada unit berkenaan selain perlu mengaktifkan panggilan kecemasan 999 sekiranya berlaku perkara di luar jangka.
“Kita tak boleh bergantung harap kepada unit ini semata-mata kerana kemalangan atau perkara kecemasan yang berlaku tidak boleh dijangka. Jadi untuk memudahkan tugas mereka, saya galakkan penduduk supaya mengaktifkan juga panggilan kecemasan 999 ini,” katanya.
Mengenai majlis sambutan Deepavali yang dianjurkan, beliau berkata ia dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada ahli parti dan penduduk setempat.
Sambutan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan mengeratkan hubungan rentas bangsa, agama dan warna kulit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial