ALOR SETAR, 2 Dis (Bernama) -- Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas akibat banjir dibenarkan untuk tinggal di asrama sehingga keadaan pulih bagi memudahkan mereka menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini hingga Febuari depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ruji Ubi berkata tindakan dibuat bagi mengelak risiko calon terkesan banjir tidak hadir peperiksaan itu seperti yang dijadualkan.
"Jumlah calon SPM di Kedah ialah 28,953 orang dan daripada jumlah itu hanya 532 orang terjejas banjir di beberapa daerah di negeri ini. Hari ini, 7,000 calon hadir menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu di 264 pusat peperiksaan di 204 sekolah.
"Bagi calon yang terjejas, kita juga membenarkan mereka menduduki peperiksaan di sekolah lain. Contohnya, 81 pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Saadah ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik di sini hari ini.
Beliau berkata calon terkesan yang ditempatkan di asrama turut disediakan bimbingan guru kaunseling, sokongan psikologi dan akademik.
Dalam pada itu, Ruji berkata KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah membuat perancangan rapi serta pelan kontigensi sejak Oktober lepas bagi memastikan peperiksaan SPM 2024 berjalan dengan lancar sekiranya berlaku banjir.
"Banjir di Kedah turut menjejaskan operasi persekolahan di empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik. Daripada lebih 700 sekolah menengah dan kebangsaan di negeri ini, sebanyak 50 dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 15 lagi ditutup sepenuhnya.
"Setakat ini di Kedah memang ada sekolah ditutup dan terkesan banjir tetapi persiapan KPM dan JPN memang sangat baik dan contohnya, tiada seorang calon pun yang tertinggal dalam ujian lisan hari ini.
“Memang ada yang risau dan mengatakan bahawa pelajar tidak bersedia untuk mengambil SPM kerana banjir tetapi semuanya berjalan lancar," katanya.
Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 7,871 orang daripada 2,339 keluarga ditempatkan di 45 PPS di Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik dan Padang Terap.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial