AM > BERITA

Sebahagian HSK Segari Melintang Dibatal, Diganti Tanah Lebih Luas - Saarani

03/12/2024 11:41 AM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak telah membatalkan sebahagian kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang seluas 548.1 hektar dengan tanah kerajaan di Mukim Durian Pipit, Hulu Perak seluas kira-kira 999.58 hektar sebagai hutan simpan baharu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tapak gantian itu telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Durian Pipit melalui Warta Kerajaan No 1777 bertarikh 18 Mei tahun ini.

Beliau berkata tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 11 dan 12, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu pihak berkuasa negeri boleh mengeluarkan atau memansuhkan HSK bagi kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan sedia ada. 

"Pemansuhan tersebut perlu dilaksanakan penggantian dengan mengambil kira keluasan yang lebih kurang sama," katanya ketika sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) menjawab soalan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol) yang ingin tahu mengenai langkah mitigasi dan keperihatinan kerajaan negeri berkaitan isu alam sekitar khususnya melibatkan hutan simpan yang telah dinyahwartakan seperti di Hutan Simpan Segari Melintang.

Saarani bekata sebelum ini hasil semakan mendapati terdapat aktiviti pengkuarian yang aktif dan kelulusan sedia ada bagi memecah batu dan mengeluarkan batu batan granit (kuari) di bawah pengelasan Hutan Pengeluaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 545 hektar dalam Hutan Simpan Segari Melintang.

Beliau berkata aktiviti pengkuarian yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan telah dibatalkan status sebagai sebahagian hutan simpan tertakluk kepada pemakaian tenemen mineral iaitu Pajakan Melombong di bawah kawalan Enakmen Mineral Perak (2003).

Menurut Saarani, pemakaian tenemen mineral itu juga akan diurus bersama pemakaian Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan undang-undang lain berkuat kuasa agar segala pelaksanaan aktiviti pengkuarian dapat dijalankan dengan lestari.

"Bagi memelihara dan melindungi ekosistem flora dan fauna di kawasan ini dan di semua kawasan hutan yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar, kerajaan negeri sedang membuat penelitian semula kesesuaian dan potensi kawasan dalam Hutan Simpan Kekal sebagai hutan perlindungan dan hutan pengeluaran," katanya.

Saarani berkata kerajaan negeri amat komited terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan ekonomi ke arah pencapaian matlamat pengurusan hutan secara berkekalan. 

"Sehubungan itu, hasil penelitian semula kesesuaian dan potensi kawasan-kawasan di dalam Hutan Simpanan Kekal ini akan dimasukkan ke dalam Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Perak 2026-2035.

"Untuk makluman, kerajaan negeri telah meneliti Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) dan menimbang pemakaiannya di negeri Perak. Cadangan pemakaian Akta A1667 ini akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan