AM > BERITA

Rumah Terapung Pokwe, Lambang Kekentalan Jiwa Hadapi Banjir

03/12/2024 01:27 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KEMAMAN, 3 Dis (Bernama) -- Datang dari ibu negara bagi membuat liputan bencana banjir di daerah ini, saya dan jurofoto Zulfadhi Zulkfli melalui satu pengalaman yang membuka mata tentang ketabahan dan kerendahan hati mangsa di sebalik kesukaran dihadapi mereka.

Berhasrat menulis tentang rumah terapung milik A. Bakar Ahmad, 70, di Kampung Tebak Batu 16 di sini, ketibaan kami disambut mesra oleh warga emas itu dan keluarganya sekalipun kediaman kayu mereka dikelilingi air separas pinggang orang dewasa.

Mesra dipanggil Pokwe, lelaki ini tersohor di seluruh negara sebagai “pencipta rumah terapung” susulan kejayaannya mengapungkan kediamannya ketika bah, menggunakan puluhan dram besar yang diikat di bahagian bawah rumah.

Namun, bukan rumah itu sahaja mengagumkan kami, tetapi juga kemesraan yang ditunjukkan oleh Pokwe sekeluarga walaupun mereka sendiri dalam kesukaran. 

Ketibaan kami disambut oleh anak lelaki Pokwe, Kamaruddin A. Bakar, 44, yang mendayung sampan bagi membawa kami ke rumah mereka.  

Kemesraan isteri Pokwe, Fatimah Salleh, 64, menyentuh hati kami apabila beliau pantas menghidangkan teh panas dan biskut, menawarkan kehangatan kepada kami yang kesejukan dek hujan turun mencurah-curah tanpa henti sejak pagi.

Tidak setakat itu, wanita ini tangkas menyediakan makanan tengah hari. Menu ringkas, sekadar ikan puyu dan haruan goreng yang dipadankan dengan labu masak lemak berserta ulam raja dilengkapi budu tempoyak. Hidangan Terengganu sebenar yang cukup menyelerakan.

“Saya rasa macam makan di rumah sendiri. Saya tidak menyangka tugasan banjir buatkan saya berasa seperti balik kampung,” bisik Zulfadhi.

Sekalipun telah beberapa kali dikunjungi wakil media daripada pelbagai organisasi, Pokwe tidak jemu bercerita tentang inovasinya itu.

Matanya bersinar, teruja, semasa mengimbau cabaran yang dihadapinya di peringkat awal projek tersebut dan rasa puas yang menyusul selepas beliau berjaya melepasi halangan berkenaan.

“Saya mulakan projek ini atas dasar keperluan,” katanya, menambah beliau bersedia berkongsi ilmunya dengan orang lain.

“Setiap tahun apabila bah melanda Terengganu, saya akan berasa sedih mengenangkan mereka yang terjejas. Saya nak buat sesuatu untuk bantu mereka,” tambahnya lagi.

Menurut Pokwe, beliau baru sahaja mengikat 20 biji dram lagi pada rumahnya itu, membolehkan beliau memuatkan empat buah motosikal di atas rumah tanpa menjejaskan daya apung sekalipun paras air terus meningkat. 

Mungkin penambahbaikan yang dilakukan oleh Pokwe itu tidak sebesar mana, namun cukup untuk menggambarkan semangat warga emas ini yang tidak mudah berpuas hati dengan pencapaiannya.   

Bagi wartawan Bernama ini pula, kisah pada hari berkenaan bukan lagi tentang bencana banjir, tetapi hikmah yang tersembunyi, iaitu bagaimana kekuatan jiwa dan sikap pemurah menyatukan masyarakat mengharungi bah yang melanda.   

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan