KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerjasama menjadi penganjur Forum “Budget Insights: Moving Towards 2025” dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menekankan usaha negara untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Acara itu, yang diadakan di MIDA Sentral, menyaksikan kalangan ketua pegawai eksekutif, pelabur dan penggubal dasar membincangkan prospek ekonomi Malaysia sebelum negara ini mempengerusikan ASEAN pada 2025.
Pengarah Eksekutif MIER Dr Anthony Dass berkata penganjuran acara tersebut dan acara itu sendiri telah memupuk budaya kerjasama dan dialog terbuka antara sektor awam dan swasta.
“Pandangan bernilai dan cadangan praktikal yang diberikan menerusi forum ini akan membantu membentuk strategi ekonomi Malaysia, mengorak laluan ke arah kemakmuran 2025 dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata forum itu merupakan satu pencapaian penting pihaknya.
“Usaha menganjurkan Forum ‘Budget Insights MIDA-MIER’ yang julung kali diadakan ini adalah satu langkah yang menarik bagi kami. Forum ini menyatukan kalangan pemikir yang berpengaruh untuk meneroka trend makroekonomi dan industri yang penting dalam membentuk masa depan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ketika MIDA dan MIER menumpukan pandangan ke arah 2025, visi yang dikongsi itu menekankan keperluan untuk berpandangan strategik dalam dunia yang sentiasa berubah, sejajar dengan dengan misi MIDA untuk menggalakkan ekosistem perniagaan yang berdaya tahan dan inovatif.
“Idea dan perbincangan yang dicetuskan di sini akan membantu perniagaan dan penggubal dasar menangani cabaran secara berterusan dan pada masa sama membuka peluang baharu untuk kejayaan jangka masa panjang,” katanya.
Panel pemudah cara dan penceramah memberikan pandangan luas mengenai landskap ekonomi Malaysia.
Sesi panel pertama yang membincangkan ‘Gambaran dan Implikasi Makroekonomi’ meneliti dinamik ekonomi global, menyelidik potensi kesan pilihan raya presiden AS, kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia serta hubungan AS-China.
Sesi itu juga menyentuh kedudukan Malaysia dalam ASEAN dan juga dalam hubungan dengan ruang ekonomi BRICS.
Sesi panel kedua membicarakan ‘Pertumbuhan dan Pelaburan Perindustrian’ bagi meneroka strategi pembangunan perniagaan dan daya tahan ekonomi.
Topik utama termasuk pengoptimuman rantaian bekalan, inisiatif pembangunan bakat, dan amalan perniagaan yang mampan, dengan penekanan khusus kepada transformasi ekonomi digital Malaysia dan ekosistem inovasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial