KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Seramai 3,263 usahawan wanita India telah menerima insentif pembiayaan program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (Penn) berjumlah RM30.34 juta yang bertujuan meningkatkan akses pasaran di peringkat tempatan, setakat November lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata bagi program SPUMI (Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India) Goes Big pula, 77 usahawan wanita India menerima pembiayaan berjumlah RM3.1 juta.
“Di bawah program I-BAP (Business Accelerator Programme for Indian Small Business) bagi membantu meningkatkan akses pasaran di peringkat antarabangsa, SME Corp telah meluluskan geran padanan berjumlah RM1.5 juta kepada 20 syarikat milikan komuniti India dengan enam daripadanya merupakan usahawan wanita India melibatkan kelulusan geran padanan sebanyak RM350,000.
“Selain itu, sehingga November lepas, 430 usahawan telah menerima kelulusan pembiayaan BRIEF-i (Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i) oleh Bank Rakyat berjumlah RM38.98 juta termasuk 145 usahawan wanita India dengan kelulusan pembiayaan berjumlah RM8.14 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Ramanan berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari mengenai apakah insentif yang telah disediakan kerajaan bagi membantu perusahaan mikro usahawan wanita berbangsa India dalam mengakses pasaran tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata bagi menyokong usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) memperluaskan akses pasaran ke luar negara, Program Pengukuhan Eksport PKS oleh SME Corp dilaksanakan tanpa mengira kaum.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, 114 usahawan telah menerima manfaat, melibatkan sembilan usahawan menerima kelulusan geran berjumlah RM1.29 juta selain 105 usahawan lagi menyertai latihan dan klinik perniagaan bagi persediaan ke arah eksport,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial