LUNDU (Sarawak), 5 Dis (Bernama) -- Sarawak akan membina 10 hektar rumah hijau sebagai permulaan membangunkan projek rintis Kluster Makanan Metropolitan (MFC) Opar yang dijangka siap pada 2026.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha yang mendapat kerjasama kerajaan Belanda dilengkapi teknologi canggih bertujuan mengadaptasi pertanian moden sekali gus meningkatkan hasil tanaman tempatan untuk dieksport ke luar negara.
“Metropolitan Food Cluster (MFC) merangkumi hasil bahan makanan seperti sayur bernilai tinggi dan ternakan termasuk penternakan haiwan dan untuk permulaan 10 hektar ini akan ambil masa 18 bulan.
“Teknologi ini diuruskan di Sarawak dan Belanda jadi ia keputusan bersama, maksudnya Belanda akan juga memantau dan menyelesaikan sebarang kelemahan timbul dari sudut teknologi yang digunakan,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek MFC Opar, hari ini.
Abang Johari berkata inisiatif berkenaan melibatkan peruntukan negeri kira-kira RM60 juta bagi tujuan membina infrastruktur manakala pihak swasta bernilai RM20 juta dari segi bahan serta penggunaan teknologi.
Beliau turut menyeru pekebun kecil di kawasan sekitar Lundu serta graduan, untuk mengambil peluang menceburi bidang pertanian moden dan menjadikan ia sebagai kerjaya.
“Kita memilih Opar sebagai lokasi projek rintis ini yang merangkumi kawasan lebih kurang 80 hektar secara keseluruhan… sekiranya projek ini berjaya ia akan diperluas ke kawasan lain di negeri ini.
“Kalau ini berjaya bermakna pekebun kecil dapat menjadi rakan besar dalam projek ini dan boleh menjual hasil makanan kerana kita mahukan kualiti hasil tani yang boleh dipasarkan di luar Malaysia termasuk Singapura,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial