ARAU, 5 Dis (Bernama) -- Kemahiran teknikal seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), data analitik dan automasi perlu dikuasai bakal graduan untuk kekal relevan serta berdaya saing dalam dunia industri.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah teknologi AI bukan sahaja merupakan satu keperluan dalam pelbagai bidang tetapi juga menjadi pemangkin untuk memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.
"Kepada bakal graduan di hadapan saya, tingkatkan kebolehpasaran atau employability diri anda. Tingkatkan ilmu, asah kemahiran insaniah dan bersedia untuk belajar sepanjang hayat.
"Jadilah individu yang bukan sahaja mencari peluang tetapi juga mencipta peluang," titah baginda pada Majlis Penutup Program AI Summer Camp University Tour - Zon Utara 2024 di Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UniMAP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu merupakan prakarsa atau inisiatif penting dalam menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), titah baginda.
Raja Muda Perlis bertitah program berkenaan bukan sahaja bertujuan memberikan pendedahan awal mengenai teknologi AI tetapi juga melatih pelajar untuk berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.
"Saya percaya program seperti AI summer camp ini mampu melahirkan bakat muda yang berinovasi dan berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di persada antarabangsa.
"Pendidikan teknologi yang kukuh akan membolehkan anak-anak muda Perlis dan Malaysia secara umumnya, memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi digital global,” titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial